Program Pelancongan Pendidikan UMPSA berjaya tarik minat pelajar luar

Astro Awani
Julai 26, 2024 16:55 MYT
Naib Canselor Universiti Pahang Al-Sultan Abdullah, Prof Ts Dr Yuserrie Zainuddin sedang mempelawa peserta Program Edu Toursim dari China pada sesi menikmati durian. - Foto Astro AWANI
PEKAN: Program Pelancongan Pendidikan atau Edu-Tourism yang ditawar oleh Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), mampu menjadi tarikan kepada pelajar antarabangsa menyambung pengajian ke peringkat tinggi di Malaysia.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Prof Ts Dr Yuserrie Zainuddin, selain mewujudkan jaringan kerjasama antara negara, industri serta agensi terlibat, program ini memperkenalkan UMPSA sebagai hub pelancongan pendidikan utama yang seiring dengan agenda Tahun Melawat Malaysia pada 2026 yang mensasarkan kedatangan 26.1 juta pelancong.
Tambah Dr Yuserrie, program Edu-Tourism ini juga berpotensi memperkenalkan UMPSA kepada pelajar luar negara melalui penawaran pakej dan program yang dirangka khas, yang mampu menonjolkan keunikan serta keistimewaan negeri Pahang.
"Sasaran pertama kIta adalah untuk membawa lebih ramai (peserta antarabangsa) dan (UMPSA) sebagai model Edu-Tourism kita akan kuatkan dan kita kukuhkan dan supaya kita akan membawa lebih ramai Edu-Tourism, pelancong ini ke UMPSA dan juga ke Pahang secara umumnya.
"Pada masa sama juga kita mengharapkan supaya kolaborasi akademik akan dapat kita lakukan hasil daripada program ini yang mana mereka mungkin berminat untuk melanjutkan pelajaran di UMPSA," katanya ketika ditemui pada pelancaran Program Edu-Tourism UMPSA di kampus Pekan," kata Dr Yuserrie.
Program Pelancongan Pendidikan kini diperluaskan dengan memperkenalkan pakej yang lebih fleksibel yang diselaras oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni dengan kerjasama strategik agensi dan jabatan lain yang berjaya menarik penyertaan peserta antarabanagsa daripada Indonesia, China , Yaman, Iran, Palestin dan Mesir.
"Pada kohort yang pertama kita dapati memang ada minat di kalangan pelajar (antarabangsa) dan antara sebabnya adalah kita tumpukan (kepada) segi aspek budaya dan juga aspek nilai-nilai orang Melayu. Jadi di situ kita lihat bahawa mereka amat berminat dari segi contohnya tarian seni, pertahanan diri dan juga dalam juga konteks yang lain kita melihat bagaimana keadaan perumahan orang Melayu dan ini merupakan salah satu daripada kesan yang kita dapati bahawa mereka berminat untuk melihat terutama pelajar-pelajar daripada luar ini yang belum biasa lagi dengan keadaan-keadaan di Malaysia," tambahnya.
Menurut Dr Yuserrie lagi, pada program Edu Tourism Kohort 2 yang bermula pada 21 Julai dan berakhir 27 Julai ini, ia melibatkan seramai 50 peserta antarabangsa daripada Beijing Polytechnic China dan Beifang Automotive Education Group (BAEG), yang mengikuti pakel English, Culture and Heritage.
Pada pelaksanaan Program Pelancongan Pendidikan (Edu-Tourism) Kohort 1 lalu, seramai empat orang peserta antarabangsa daripada Universitas Muhammaddiyah, Acheh, telah mengikuti Pakej Nature And Adventure: A Thrilling Adventure In Taman Negara, Kuala Tahan Pahang dan selebihnya 12 peserta antarabangsa mengikuti Pakej Malay and Cultural Heritage.
Kohort 1 telah dilaksanakan pada 7 hingga 9 Mei lalu dengan penyertaan seramai 16 orang peserta antarabangsa dari Bangladesh, Pakistan, Mesir, Indonesia, China, Pakistan, Somalia, Yaman dan Iraq.
#program pelancongan pendidikan #Edu-Tourism #Universiti Malaysia Pahang Sultan Abdullah #UMPSA
;