Program Peduli Veteran fokuskan aspek kebajikan veteran ATM
Bernama
Julai 8, 2023 05:34 MYT
Julai 8, 2023 05:34 MYT
KEPALA BATAS: Kementerian Pertahanan menerusi Program Peduli Veteran (PPV) telah mengadakan sesi dialog dengan 16 Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Negeri Pulau Pinang, bagi memfokuskan aspek kebajikan veteran dan keluarga tanggungan.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata Kementerian Pertahanan komited untuk meneruskan program turun padang sebegini di seluruh negara bagi mendapatkan respons daripada para veteran secara individu mahupun persatuan.
"Program ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Teras 7: Transformasi Kesejahteraan Veteran ATM, Pelan Strategik MinDef (PSM), memfokuskan aspek kebajikan veteran dan keluarga tanggungan.
"Hari ini saya berpeluang untuk berdialog dengan 16 Persatuan Veteran Negeri Pulau Pinang dan seterusnya menyampaikan 500 Bakul Rahmah untuk diagihkan kepada veteran ATM," katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Selain itu, katanya, antara 16 persatuan veteran terlibat dengan dialog semalam termasuk Persatuan Veteran ATM (PVATM) Negeri Pulau Pinang, Persatuan Veteran India ATM (PERIM) Cawangan Negeri Pulau Pinang, Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PTLDM) Negeri Pulau Pinang, Persatuan Veteran TUDM Negeri Pulau Pinang serta Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVTTBM) Negeri Pulau Pinang.
Di samping itu, katanya beliau berpeluang melihat sendiri usahawan veteran yang berjaya di lapangan masing-masing dan kejayaan mereka akan menjadi inspirasi kepada veteran lain serta masyarakat setempat.
"Kementerian akan terus memperkasakan dan meningkatkan taraf sosioekonomi veteran," katanya.
Justeru, beliau menyeru veteran yang ingin menceburi bidang keusahawanan, pertanian dan perladangan, agar tampil dan mendapatkan bantuan khidmat nasihat.
"Ini termasuk geran padanan, dana pembiayaan dan fasiliti yang bersesuaian dengan menghubungi pihak Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM sebagai rujukan dan pemudah cara dengan pihak-pihak yang berkepentingan," katanya.
-- BERNAMA