Program Pascasiswazah Kardiotoraks: 'Beri ruang kepada KKM, KPT bincang dengan AGC'

Firdaus Azil
Mei 27, 2024 19:55 MYT
Zambry berkata, program pascasiswazah UiTM itu dilihat sebagai satu alternatif, sementara menunggu universiti lain sediakan program sendiri.
KUALA LUMPUR: Isu program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks di Universiti Teknologi Mara (UiTM), tidak seharusnya dipolemikkan sebagai satu isu politik yang melibatkan perkauman, tegas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata, Kementerian ketika ini sedang mengadakan perbincangan lanjut dengan Jabatan Peguam Negara berhubung isu melibatkan empat doktor berkenaan, khususnya seorang doktor berbangsa Cina dan India, memandangkan ia melibatkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Perubatan 1971.
Beliau berkata, kerajaan akan mengambil pendekatan holistik kerana ia melibatkan aspek kritikal khususnya kekurangan doktor pakar, dan pindaan terhadap Akta Perubatan itu diharap dapat dibentangkan dalam sesi Parlimen seterusnya.
Mengulas lanjut Zambry berkata, program pascasiswazah UiTM itu dilihat sebagai satu alternatif, sementara menunggu hospital-hospital universiti yang lain menyediakan program pascasiswazah mereka yang tersendiri.
“Ini bukan soal perkauman, tetapi isu ini perlu diselesaikan sementara universiti lain sedang membuat persiapan untuk wujudkan program mereka sendiri, contoh Universiti Malaya, yang sedang dalam persiapan memperkenalkan program ini.
“Jadi untuk tempoh sementara (ada pihak) minta UiTM... ini bukan isu UiTM dibuka kepada kepada bukan bumiputera. Tetapi (isu) ini dimainkan menjadi satu isu polemik, politik yang keterlaluan.
“Komitmen kita, komitmen Kerajaan, dan YAB Perdana Menteri, dan juga Kementerian bertanggungjawab termasuk Kementerian Kesihatan, kita memang telah berusaha dan mencuba cari penyelesaian. Tidak ada perkara yang terlalu kompleks seperti isu perkauman dan sebagainya,” tegasnya lagi.
Media sebelum ini melaporkan, Majlis Perubatan Malaysia (MMC) telah menolak permohonan empat graduan perintis program pembedahan kardiotoraks untuk mendaftar sebagai pakar dalam Daftar Pakar Kebangsaan (NSR).
Laporan tersebut menyebut, penolakan itu atas dasar majlis tersebut tidak mengiktiraf Fellowship Kolej Diraja Pakar Bedah Edinburgh dalam kelayakan Pembedahan Kardiotorasik.
Sehubungan itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) telah meminta UiTM membuka sementara kemasukan program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks kepada bukan bumiputera demi kepentingan negara.
Bagaimanapun cadangan itu ditolak keras beberapa pihak tertentu, atas alasan ia melanggar penubuhan UiTM di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang dikhususkan untuk Melayu dan Bumiputera.
Dalam pada itu Zambry berkata, tidak adil untuk mana-mana pihak menuduh UiTM sebagai sempit, dan tidak mengambil kira keperluan mendesak untuk penempatan doktor yang mempunyai kepakaran tertentu.
“Isu dia bukan UiTM. Isu dia adalah Majlis Perubatan Malaysia (MMC) akan terima keputusan itu atau tidak. Katalah UiTM lepas, adakah MMC sedia atau tidak terima doktor ini? Tak adil untuk menuduh UiTM rigid, tak mahu beri ruang, tiada konvensyen untuk kes terdesak empat orang doktor ini.
“Kita kena faham isu itu bukan melibatkan UiTM (semata-mata), isu itu melibatkan MMC. Walaupun dah boleh lulus keluar, atau untuk sementara, katalah UiTM beri ruang, akhirnya MMC akan terima atau tidak, itu isu yang sebenarnya jadi persoalan,” katanya lagi.
#Zambry Abdul Kadir #Malaysian Medical Association #UiTM #Program Pascasiswazah Kardiotoraks
;