Program Outreach Vaksinasi di pedalaman Kota Marudu berjalan lancar
Astro Awani
Jun 23, 2021 17:11 MYT
Jun 23, 2021 17:11 MYT
KOTA MARUDU: Gerakan besar-besaran program outreach vaksinasi di Sabah berjalan lancar dan mengikut sasaran.
Kumpulan doktor, jururawat dan sukarelawan di bawah pengawasan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah turun padang ke kampung-kampung di pedalaman Sonsogon di daerah Kota Marudu.
Perjalanan kira-kira tiga jam itu menyaksikan petugas Pejabat Kesihatan Kota Marudu terpaksa meredah jalan tanah merah kira-kira 70 kilometer dari pekan daerah tersebut.
Ia lebih mencabar dengan keadaan bentuk muka bumi yang berbukit bukau semata-mata ingin melaksanakan program imunisasi buat penduduk di sana.
Usaha ini bagi memastikan tiada seorang masyarakat khususnya di pedalaman tercicir daripada menerima suntikan vaksin COVID-19.
Menerusi fasa pertama Program Outreach Vaksinasi Parlimen Kota Marudu, 300 penduduk di pedalaman Sonsogon dikenal pasti untuk menerima vaksin COVID-19.
Menurut Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Maximus Ongkili, lebih 700 penduduk tinggal secara berselerak di pedalaman Sonsogon.
“Walaupun saya melihat sambutan pada Selasa agak perlahan, namun ia memberangsangkan menjelang tengahari kerana lebih ramai yang tampil untuk divaksin.
‘’Kami berharap agar lebih ramai yang hadir untuk mendaftar dan menerima vaksin sepanjang program ini diadakan di sini,’’ katanya satu kenyataan selepas pelancaran program vaksinasi yang berlangsung selama tiga hari di Kampung Sungai Magandai pada Rabu.
Setakat ini, 15,265 telah mendaftar untuk program vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera di Kota Marudu dengan 6,018 telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 manakala 1, 949 telah melengkapkan kedua-dua dos.
Tambahnya, program seumpama itu nyata memberi manfaat kepada penduduk di luar bandar khususnya mereka yang menetap di kawasan pedalaman dan mempunyai kekangan untuk bergerak keluar bagi tujuan vaksinasi.
Justeru masyarakat perlu beri kerjasama dan tidak perlu takut untuk menerima vaksin COVID-19.
"Walaupun vaksin ini bukanlah penawar, sekurang-kurangnya ia dapat membina antibodi kita untuk melawan virus yang membawa maut ini.
‘’Kita perlu melindungi diri kita terlebih dahulu untuk melindungi orang lain. Oleh itu, jangan sesekali takut untuk menerima vaksin. Ia dapat menyelamatkan nyawa," katanya lagi.
Petugas kesihatan bergerak telah pergi ke kampung-kampung di pedalaman Sabah bagi merancakkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sejak dua minggu lalu.
Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dijangka melancarkan program outreach vaksinasi di Long Pasia, Sipitang, esok.
#vaksin COVID-19
#Program Outreach Vaksinasi
#Program Vaksinasi Bergerak Sabah
#COVID-19 di Sabah
#jumlah dos vaksin Sabah
#Dr Maximus Ongkili