Program outreach: Lebih 90 peratus pesakit dialisis di Perak lengkapkan dua dos vaksin

Bernama
Jun 6, 2021 05:55 MYT
Program outreach merupakan antara inisiatif bagi meningkatkan jumlah vaksinasi harian dalam kalangan rakyat Perak. - Foto Facebook JKN Perak
IPOH: Lebih 90 peratus pesakit dialisis di Perak telah melengkapkan dua dos vaksin mereka menerusi program 'outreach' bagi pesakit rawatan hemodialisis awam dan swasta yang bermula pada 3 Mei lepas.
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak dalam kenyataan semalam di laman Facebook rasminya memaklumkan seramai 3,750 orang telah melengkapkan dos kedua iaitu sebanyak 90.78 peratus daripada 4,131 pesakit dialisis di negeri itu yang bersetuju menerima suntikan vaksin setakat ini.
"Program ini melibatkan pasukan outreach hospital Kementerian Kesihatan (KKM) di seluruh negeri Perak dengan kerjasama Bahagian Kesihatan Awam JKN Perak dan merangkumi 17 fasiliti kesihatan KKM, tujuh hospital swasta dan 54 pusat hemodialisis berdiri sendiri," menurut kenyataan itu.
Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad dilaporkan berkata program outreach merupakan antara inisiatif bagi meningkatkan jumlah vaksinasi harian dalam kalangan rakyat Perak.
Exco Kesihatan Perak Mohd Akmal Kamarudin pula dilaporkan berkata setakat 28 Mei lepas, seramai 237,204 orang di negeri itu telah menerima suntikan vaksin COVID-19.
Sumber Facebook jknperak
-- BERNAMA
#dos kedua #suntikan #KKM #Exco #Kementerian Kesihatan #COVID-19 #vaksin #Facebook #Saarani Mohamad #jabatan kesihatan #Perak #Hemodialisis #dialisis #hospital swasta #pusat hemodialisis #vaksinasi #Mohd Akmal Kamarudin
;