Program NTIS jana jualan RM51.8 juta dalam tempoh dua tahun - MOSTI

Bernama
Mei 30, 2023 05:15 MYT
Chang Lih Kang berkata, bagi tahun 2023, program NTIS menyasarkan pembangunan dua lagi tapak sandbox, serta menyelaras 70 syarikat pemula niaga dan membantu 20 produk atau penyelesaian untuk dikomersialkan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Program Kemajuan Sandbox Teknologi dan Inovasi Negara (NTIS) berjaya menjana hasil jualan sebanyak RM51.8 juta melalui pengkomersialan 24 inovasi dalam tempoh dua tahun, kata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Menterinya, Chang Lih Kang berkata, di samping bantuan dana, program NTIS juga telah memudahkan kawal selia 43 kes dengan 18 agensi kerajaan, disokong oleh 50 rakan kongsi dalam Rangkaian Pecutan Inovasi yang menawarkan teknologi, tapak ujian dan mekanisme pembiayaan.
"Kira-kira 50 peratus syarikat yang melalui program NTIS telah memajukan penyelesaian mereka dalam sektor agritech, medtech, biztech dan fintech.
"Sebanyak 10 tapak sandbox telah dimajukan setakat ini dengan peruntukan bagi penyelesaian perubatan dan penjagaan kesihatan, pertanian dan perhutanan, bandar pintar dan pengangkutan, pembuatan pintar, alam sekitar dan biodiversiti dan lain-lain," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kementerian pada Selasa.
NTIS diterajui oleh MOSTI dengan Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) sebagai sekretariat utama yang disokong oleh MIMOS Berhad, Malaysia Technology Development Corporation (MTDC) dan Futurise Sdn Bhd.
MOSTI berkata bagi tahun 2023, program NTIS menyasarkan pembangunan dua lagi tapak sandbox, serta menyelaras 70 syarikat pemula niaga dan membantu 20 produk atau penyelesaian untuk dikomersialkan.
Ia sejajar dengan sasaran yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), di mana NTIS dijangka mengkomersialkan 100 produk menjelang 2025.
"Peluang pekerjaan dijangka terus meningkat dalam tempoh dua tahun akan datang atas kegigihan para inovator di Malaysia yang kini semakin rancak.
"Sebanyak 244 peluang pekerjaan kini telahpun dicipta di samping 24 penyelesaian dihasilkan untuk menangani cabaran masyarakat dan sektoral yang dihadapi negara," kata kementerian itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI, Dzuleira Abu Bakar berkata Jawatankuasa NTIS telah bekerja keras untuk menambah baik strategi dalam peralihan produk berasaskan teknologi secara berkesan ke arah pengkomersialan.
"Melalui NTIS, syarikat teknologi dan inovasi boleh memajukan prototaip dan pembuktian konsep mereka dalam persekitaran yang terkawal dan selamat.
"Penyelesaian teknologi tempatan boleh diakses oleh lebih banyak industri dan komuniti tempatan dengan mudah, tersedia dan mudah diakses," katanya dalam kenyataan itu. - BERNAMA
#MOSTI #NTIS #mimos #RMKe-12
;