Program MM2H perlu ditambah baik, jadikan Malaysia antara destinasi pilihan utama

Bernama
Julai 6, 2023 21:19 MYT
Sultan Johor berkenan menerima menghadap Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing di Istana Bukit Serene. - Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) perlu ditambah baik daripada segi dasar, insentif dan manfaat, supaya ia tidak membebankan.
Menerusi satu hantaran di Facebook, baginda bertitah penambahbaikan itu penting dalam menjadikan Malaysia sebagai antara destinasi pilihan utama.
Terdahulu, Sultan Johor berkenan menerima menghadap Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Hantaran itu menyebut majlis menghadap itu berkenaan berlangsung di Istana Bukit Serene, di sini, selama hampir dua jam.
Sementara itu, menerusi hantaran yang sama Tiong berkata pada sesi menghadap itu, baginda berkongsi serta menyampaikan pelbagai pandangan dan buah fikiran mengenai MM2H.
Beliau berkata pandangan dan idea yang diberikan Sultan Ibrahim mengenai MM2H amat baik, yang juga penting bagi merancakkan sektor pelancongan Malaysia.
"Sultan Johor telah memberikan banyak idea baik dan saya yakin idea-idea ini boleh dilaksanakan, sekali gus merancakkan ekonomi pelancongan kita.
"Saya akan berbincang bersama Kementerian Dalam Negeri serta pemain industri berhubung penambahbaikan MM2H serta pandangan dan nasihat yang disampaikan oleh Baginda," katanya.
Tiong berkata segala perkara yang dibincangkan akan dibawa sebagai kertas cadangan kepada Kabinet pada bulan hadapan.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor K Raven Kumar.
-- BERNAMA
#mm2h #Sultan Johor #tambah baik #Tiong King Sing
;