Program Menu Rahmah di Negeri Sembilan kurang sambutan

Sinar Harian
Februari 17, 2023 10:20 MYT
KPDN Negeri Sembilan akan membantu mempromosikan premis makanan yang menyertai program itu dengan menghebahkan di platform media sosial agensi.- - Gambar hiasan/BERNAMA
SEREMBAN: Program Menu Rahmah di Negeri Sembilan masih kurang mendapat sambutan berbanding di negeri lain.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, sememangnya tiada paksaan kepada mana-mana pengusaha untuk menyertai program itu, namun ia amat digalakkan.
"Berdasarkan pemantauan yang kita lakukan, saya boleh katakan keberadaan Menu Rahmah di negeri ini tak semeriah di negeri lain.
"Tapi saya percaya ramai yang sudah dalam perancangan menyediakan Menu Rahmah di premis mereka dan ia lebih kepada tanggungjawab sosial sekali gus menyahut saranan kerajaan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurutnya, sejak inisiatif itu dilancarkan, KPDN Negeri Sembilan telah pun mengadakan perjumpaan dengan beberapa persatuan pengusaha makanan bagi membincangkan program itu dan maklum balas diterima sangat positif.
Selain itu katanya, pertemuan turut diadakan dengan Hal Ehwal Pelajar dan operator kafe di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Negeri Sembilan untuk mendapat maklum balas berkenaan program Menu Rahmah.
"Ia bukannya satu bentuk paksaan dan undang-undang, tapi kita mempelawa mereka untuk bersama-sama menjayakan program ini.
"Jadi kepada mana-mana premis makanan, jom sertai Program Menu Ramah Kasih Sayang ini dengan mendaftar dengan kami," katanya.
Jelasnya, KPDN Negeri Sembilan akan membantu mempromosikan premis makanan yang menyertai program itu dengan menghebahkan di platform media sosial agensi.
Sebelum ini media melaporkan KPDN sedang berbincang untuk memberikan insentif khas kepada para peniaga yang menjual Menu Rahmah di seluruh negara dalam usaha mengurangkan beban rakyat.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, antara inisiatif dibincangkan, keperluan tambahan kuota pekerja kepada restoran-restoran terlibat. -Sinar Harian
#Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup #Menu Rahmah #persatuan pengusaha makanan #operator kafe
;