Program Mendampingi Rakyat dinaik taraf ke Program Sinergi Rakyat Malaysia
Bernama
November 7, 2023 22:05 MYT
November 7, 2023 22:05 MYT
KUALA LUMPUR: Program Mendampingi Rakyat Malaysia di luar negara akan dinaik taraf kepada Program Sinergi Rakyat Malaysia sejajar konsep MADANI bermula tahun depan, Dewan Rakyat diberitahu.
Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin berkata langkah itu seiring dengan pengenalan konsep MADANI yang menekankan inklusiviti, keadilan dan kebersamaan.
"Selain memperkukuh permuafakatan antara rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara, inisiatif ini juga akan menggalakkan lagi kesepaduan sosial dan budaya sebagaimana digariskan dalam konsep MADANI.
"Usaha ini juga akan memberi impak positif dalam membina hubungan yang lebih erat antara diaspora Malaysia dan negara asal," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 peringkat kementerian itu di Dewan Rakyat pada Selasa.
Sementara itu, Mohamad berkata Malaysia akan terus memainkan peranan dengan cara tersendiri dalam memperjuangkan dan menunjukkan solidariti terhadap penindasan yang dilalui penduduk Palestin.
Beliau berkata selain di peringkat ASEAN, Malaysia juga akan memanfaatkan platform antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Sidang Kemuncak Ketua-ketua Negara dan Kerajaan Kumpulan 77 (G77) untuk menunjukkan kepentingan bersolidariti untuk rakyat Palestin
"Malah, kerajaan melalui Menteri Luar bersama Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN pada 20 Okt lepas juga telah mengeluarkan kenyataan mengenai peningkatan konflik bersenjata di Timur Tengah.
"Ia termasuk menyeru agar kedua-dua pihak menghormati sepenuhnya undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan memberi laluan bantuan kemanusiaan tanpa halangan," katanya.
Berhubung persediaan negara menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Mohamad berkata kementerian kini berada di peringkat awal perancangan dalaman serta perbincangan bersama kementerian dan agensi berkaitan bagi menentukan bidang keutamaan serta keberhasilan Kepengerusian ASEAN 2025.
-- BERNAMA
#Program Sinergi Rakyat Malaysia
#Program Mendampingi Rakyat
#dinaik taraf
#Mohamad Alamin
#Kementerian Luar