Program memfail borang nyata cukai keuntungan modal mulai 1 Mac 2024

Bernama
Januari 24, 2024 10:00 MYT
Pembayar cukai atau ejen cukai berlesen yang dilantik boleh mengakses e-CKM melalui portal MyTax di https://mytax.hasil.gov.my. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memaklumkan bahawa Program Memfail Borang Nyata Cukai Keuntungan Modal (BNCKM) akan dimuat naik di Portal Rasmi HASiL sebagai rujukan dan panduan kepada pembayar cukai bagi tujuan mengemukakan BNCKM mulai 1 Mac 2024.
Dokumen tersebut boleh diakses dan dimuat turun mengikut panduan mudah seperti yang berikut:
i. Layari Portal Rasmi HASiL di www.hasil.gov.my
ii. Klik menu Borang > Program Memfail Borang Nyata CKM
iii. Atau menerusi capaian pantas di pautan berikut:
Versi Bahasa Malaysia:
https://www.hasil.gov.my/borang/program-memfail-borang-nyata-ckm/
Versi Bahasa Inggeris:
https://www.hasil.gov.my/en/forms/cgt-return-form-filing-programme/
Mulai 1 Januari 2024, syarikat, perkongsian liabiliti terhad, badan amanah dan koperasi yang menerima laba atau keuntungan daripada pelupusan aset modal yang terdiri daripada:
i. Saham syarikat tidak tersenarai yang diperbadankan di Malaysia; atau
ii. Saham syarikat terkawal diperbadankan di luar Malaysia yang memiliki harta tanah yang terletak di Malaysia atau saham syarikat terkawal lain atau kedua - duanya di bawah seksyen 15C Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967),
adalah tertakluk kepada Cukai Keuntungan Modal (CKM) di bawah ACP 1967.
Entiti Labuan (Syarikat Labuan, Perkongsian Liabiliti Terhad Labuan, Yayasan dan Amanah Labuan) yang memilih atau tertakluk kepada pengenaan cukai di bawah ACP 1967 adalah juga tertakluk kepada pengenaan CKM. Pengemukaan BNCKM dan bayaran CKM hendaklah dibuat dalam tempoh 60 hari dari tarikh pelupusan aset modal.
Walau bagaimanapun, pelupusan aset modal tersebut bagi tempoh 1 Januari 2024 hingga 29 Februari 2024 adalah dikecualikan cukai dan TIDAK tertakluk kepada pengemukaan BNCKM.
Pelaporan CKM adalah mandatori melalui medium elektronik e-CKM.
Pembayar cukai atau ejen cukai berlesen yang dilantik boleh mengakses e-CKM melalui portal MyTax di https://mytax.hasil.gov.my.
Sejajar dengan transformasi teknologi dan pendigitalan sistem perkhidmatan percukaian serta komitmen bagi meningkatkan tahap perkhidmatan pelanggan, HASiL mewajibkan penggunaan e-Perkhidmatan bagi perkhidmatan-perkhidmatan yang telah disediakan secara dalam talian melalui gerbang perkhidmatan Portal MyTax mulai 1 Januari 2024.
Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada kami melalui:
a) Hasil Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100
(Luar Negara);
b) HASiL Live Chat; dan
c) Borang Maklum Balas di Portal Rasmi HASiL di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/
Dikeluarkan Oleh:
Bahagian Perhubungan Awam dan Multimedia | Jabatan Khidmat Korporat
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia
Tarikh: 24 Januari 2024
SUMBER: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Bahagian Perhubungan Awam dan Multimedia | Jabatan Khidmat Korporat
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia
Hasil Contact Centre: 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (luar negara)
Portal Rasmi : www.hasil.gov.my
--BERNAMA
#LHDN #hasil #BNCKM #cukai
;