Program MADANI Rakyat Zon Tengah dijangka tarik 100,000 pengunjung

Bernama
Februari 23, 2024 14:50 MYT
Pengunjung berkesempatan melihat haiwan ternakan di reruai pameran Agro Veterinar sempena Program MADANI Rakyat 2024 (Zon Tengah) yang diadakan selama tiga hari bermula hari ini. -Bernama
KUALA SELANGOR: Program MADANI Rakyat Zon Tengah selama tiga hari di Kompleks Sukan Kuala Selangor di sini anjuran Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dari Pejabat Perdana Menteri dijangka menarik kehadiran 100,000 pengunjung.
PACU dalam kenyataan berkata program dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kerajaan Negeri Selangor yang bermula hari ini, merupakan kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di Stadium Nasional Bukit Jalil bulan Disember lepas.
"Bagi Zon Tengah ini, 34 unit reruai kementerian, agensi dan kerajaan negeri, 40 gerai jualan makanan dan 30 pengusaha agro serta barang basah disediakan.
"Program MADANI Rakyat Zon Tengah memberi tumpuan kepada aktiviti yang berkaitan dengan pertanian dan keterjaminan makanan, program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta program kesejahteraan rakyat, selain pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor khususnya," menurut kenyataan itu.
Majlis penutupan Program MADANI Rakyat Zon Tengah ini akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Ahad ini dan yang dijangka turut dihadiri kepimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan dan Negeri.
-- BERNAMA
#Program MADANI Rakyat Zon Tengah #Kompleks Sukan Kuala Selangor #Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi #Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
;