Program MADANI Rakyat: Pengurangan kadar saman trafik hanya bagi kesalahan terpilih
Bernama
Februari 21, 2024 15:10 MYT
Februari 21, 2024 15:10 MYT
KUALA LUMPUR: Pengurangan kadar bayaran kompaun saman hingga 50 peratus anjuran polis trafik bersempena Program MADANI Rakyat Zon Tengah hanya melibatkan kesalahan terpilih.
Menurut laman Facebook Rasmi Malaysia MADANI, 10 kesalahan kompaun yang tidak ditawarkan pengurangan ialah kemalangan, bicara mahkamah, berkaitan kenderaan berat, memotong secara berbahaya dan menggunakan lorong kecemasan.
Selain itu, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memotong di garisan berkembar, pengubahsuaian ekzos, saman berstatus Op Selamat dan kesalahan tidak boleh kompaun (NC) juga tidak ditawarkan pengurangan.
"Pembayaran hanya boleh dibuat di tapak program, tertakluk pada terma dan syarat," menurut hantaran itu.
Program MADANI Rakyat Zon Tengah akan berlangsung pada 23 hingga 25 Feb ini di Kompleks Sukan Kuala Selangor.
-- BERNAMA