Program Madani Rakyat: Pemuda gigih hasilkan mural 'perpaduan' dalam tempoh tiga hari

Bernama
Mei 5, 2024 14:32 MYT
Abdul Qoyyum bergambar bersama hasil karnyanya mural grafiti bertemakan ‘Perpaduan’. - Foto Bernama
GEORGE TOWN: Sebaik melangkah masuk pintu utama di Tapak Pesta Sungai Nibong, dekat sini mata pastinya tertumpu pada sebuah mural besar yang memaparkan masyarakat berbilang kaum yang ditempatkan di sebelah kiri pintu utama.
Bertemakan "Perpaduan", lukisan mural bersaiz 44 kaki lebar dan 12 kaki panjang itu menjadi antara tarikan pengunjung sempena hari terakhir Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara yang akan melabuhkan tirai hari ini.
Lebih mengagumkan, lukisan mural hasil tangan seorang artis grafiti Abdul Qoyyum Mohd, 31, itu disiapkan dalam tempoh tiga hari bermula Jumaat, iaitu hari pertama Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara berlangsung.
Merealisasikan 'misi' untuk menyiapkan mural itu, Abdul Qoyyum berkata beliau perlu bekerja dari pagi hingga ke malam untuk memastikan lukisan itu siap mengikut jadual hari ini kerana karya itu dihasilkannya secara sendiri.
"Kebiasaannya lukisan mural grafiti sebegini mengambil masa seminggu untuk disiapkan. Selalu demo (lukisan) yang saya buat adalah 8x8 kaki (banner), ini kira yang paling besar pernah saya buat untuk program yang singkat dan seorang diri. Sebelum ini ada team juga tetapi team lain dah travel luar (tempat lain).
"Sepatutnya seorang seminggu (untuk menyiapkan mural grafiti saiz 44 kaki lebar dan 12 kaki panjang itu) tetapi saya sudah permudahkan rekaan untuk hanya fokus pada subjek (dalam mural grafitinya)," katanya kepada Bernama.
Abdul Qoyyum menggunakan teknik seni cat sembur yang menggambarkan suasana sekumpulan kanak-kanak pelbagai bangsa sedang bermain di taman dengan latar belakang bandar yang tersergam bangunan Komtar.
Lulusan Diploma Seni Reka Grafik Universiti Selangor itu menjelaskan pilihannya melukis keriangan kanak-kanak berbilang bangsa itu untuk menggambarkan kehidupan harmoni antara masyarakat majmuk di negara ini, selain kanak-kanak adalah penyambung generasi akan datang.
"Perpaduan" dibawakan khas oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Balai Seni Negara dan ia adalah hasil seni pameran yang buat julung kali diadakan sempena Program MADANI Rakyat 2024.
Lebih istimewa, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar yang menghadiri Majlis Penutupan Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara hari ini sempat menandatangani seni grafiti itu sebelum melakukan tinjauan mesra di reruai kementerian dan agensi kerajaan.
Abdul Qoyyum meluahkan rasa gembira kerana sempat menyiapkan mural "Perpaduan" itu dalam tempoh tiga hari program berkenaan berlangsung, malah beliau juga berbangga hasil seninya dirasmikan oleh Perdana Menteri.
Bercerita lanjut, Ahmad Qoyyum berkata beliau bekerjasama dengan Balai Seni Negara sejak 2011 dan penglibatannya pada penganjuran siri kedua Program MADANI Rakyat 2024 itu adalah atas permintaan agensi di bawah MOTAC itu.
"Saya sudah lama kerjasama dengan Balai Seni Negara, ikut program-program seni mereka ke negeri-negeri lain juga," katanya yang meminati bidang seni lukisan sejak kecil.
Mural adalah seni yang dibuat secara langsung di permukaan dinding atau permukaan luas lain manakala grafiti, lebih kepada tulisan pada dinding atau digabungkan dengan mural untuk mencipta satu reka bentuk yang lengkap.
-- BERNAMA
#lukisan mural #Program MADANI Rakyat #Tapak Pesta Sungai Nibong #Abdul Qoyyum Mohd #perpaduan #George Town
;