Program komuniti polis perlu ditingkatkan - KP Selangor

Bernama
Disember 14, 2015 07:35 MYT
ABDUL SAMAH: Masyarakat jelas mempunyai peranan penting dalam membantu pihak polis menyelesaikan isu-isu berkaitan jenayah. - Gambar Fail
Program komuniti polis bersama masyarakat perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa dalam usaha membendung kegiatan jenayah masa kini, kata Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat.
Beliau berkata masyarakat jelas mempunyai peranan penting dalam membantu pihak polis menyelesaikan isu-isu berkaitan jenayah.
"Susun strategi untuk bendung kegiatan jenayah, kerjasama antara polis dan masyarakat melalui konsep komuniti polis telah terlaksana dengan baik.
"Teruskan perhubungan di semua peringkat masyarakat dan beri kesedaran untuk masyarakat turut sama main peranan membendung jenayah," katanya.
Abdul Samah bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Ampang Jaya dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) IPD Ampang Jaya di sini, pada Isnin.
Sementara itu, beliau berkata daerah Ampang mencatatkan penurunan indeks jenayah sebanyak 14.25 peratus dengan 2,949 kes dilaporkan dalam tempoh Januari lepas hingga Nov tahun ini, berbanding 3,439 kes dalam tempoh sama tahun lepas.
"Penurunan ini merupakan hasil dari kerjasama baik antara polis dengan masyarakat," katanya.
Terdahulu, pada majlis itu bekas Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, SAC Khairuldin Saad menyerahkan tugas kepada penggantinya, ACP Hamzah Alias yang sebelum ini merupakan Ketua Polis Daerah Jempol, Negeri Sembilan.
Khairuldin pula dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (D4) Risikan/Operasi/Rekod Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Isteri kepada Hamzah, Farah Liza Abdullah kini menjadi Pengerusi Perkep Ampang Jaya yang baharu menggantikan Sharifah Zuraidah Syed Mustafa Al-Qudri.
#Abdul Abdul Samah Mat #jenayah #Ketua Polis Selangor #komuniti polis #penurunan indeks jenayah
;