Program Kompetensi KKP NIOSH-Mitra diperluas kepada golongan M40

Bernama
September 1, 2023 04:20 MYT
Sivakumar berkata, Kementerian Sumber Manusia menyasarkan 960 peserta untuk menyertai program itu pada tahun ini. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Program Kompetensi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) anjuran bersama Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) kini diperluas bagi merangkumi belia India daripada golongan M40.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, ketika diperkenalkan pada tahun lepas, Program Kompetensi KKP NIOSH-Mitra yang memperuntukkan dana berjumlah RM4.5 juta itu hanya dibuka kepada belia India daripada golongan B40.
"Pelbagai penambahbaikan turut dibuat pada program itu agar para peserta mempunyai pelbagai kemahiran yang memenuhi kehendak majikan dalam pelbagai industri," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Terdapat empat pakej yang ditawarkan di bawah program berkenaan iaitu Pegawai Keselamatan dan Kesihatan, Latihan untuk Jurulatih bagi Program Kompetensi KKP, Koordinator KKP dan Pengendalian Selamat Trak Angsun.
"Setiap pakej yang ditawarkan turut merangkumi kursus lain yang mampu memberikan nilai tambah kepada setiap peserta agar mereka lebih bersedia untuk melaksanakan pelbagai tugasan dengan efektif," katanya.
Sebagai contoh, katanya, mereka yang menyertai program Pegawai Keselamatan dan Kesihatan serta Koordinator KKP akan turut menyertai kursus berkaitan ruang terkurung, manakala peserta Latihan untuk Jurulatih bagi Program Kompetensi KKP pula akan didedahkan kepada kursus pertolongan cemas dan kesedaran kesihatan mental.
Sivakumar berkata, Kementerian Sumber Manusia menyasarkan 960 peserta untuk menyertai program itu pada tahun ini.
Sejumlah 172 belia India daripada golongan B40 yang telah menyertai program anjuran NIOSH-Mitra itu berjaya mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan kemahiran yang diperoleh, katanya. - BERNAMA
#NIOSH #Mitra #kursus pertolongan cemas #kesihatan mental
;