Program KL Pagi Bebas Kenderaan galakkan warga kota berbasikal

Bernama
Oktober 4, 2014 13:30 MYT
Program KL Pagi Bebas Kenderaan galakkan warga kota berbasikal - Gambar fail
Program 'KL Car Free Morning' atau pagi tanpa kenderaan dilihat mampu menggalakkan warga kota menggunakan basikal sebagai satu kaedah pengangkutan di ibu kota.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata program yang bertujuan mengurangkan pelepasan asap kenderaan di kawasan bandar itu diadakan setiap bulan bagi memupuk minat warga kota untuk berbasikal.
"Seperti bandar-bandar negara lain seperti Australia, penduduknya berbasikal untuk ke mana-mana sahaja sebagai kaedah pengangkutan mereka termasuk untuk ke tempat kerja.
"Program ini selain sebagai program riadah bersama keluarga dalam kalangan warga kota, ia juga menggalakkan mereka menggunakan basikal atau berjalan kaki dengan lebih kerap untuk ke mana-mana tanpa menggunakan kenderaan berasap," katanya.
Ahmad Phesal berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program 'KL Car Free Morning' anjuran DBKL di Dataran Merdeka, hari ini.
Beliau berkata sejak program bulanan itu dianjurkan pada Januari lepas, sambutannya amat menggalakkan dengan penyertaan ramai daripada warga kota yang membawa anggota keluarganya bersama-sama.
Ahmad Phesal berkata meskipun esok umat Islam akan menyambut Aidiladha, namun program itu tetap mendapat sambutan apabila kira-kira 4,000 peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat berbasikal sejauh enam kilometer di sekitar Dataran Merdeka hari ini.
"Kerjasama daripada pelbagai pihak terutamanya sektor swasta sangat diperlukan bagi menggalakkan lebih banyak penyertaan daripada orang ramai sekali gus dapat bersama-sama memulihara alam sekitar," katanya.
Program anjuran DBKL dengan sokongan Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (MNCF) dan OCBC Bank meliputi tujuh jalan utama iaitu Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Dang Wangi, Jalan Ampang, Jalan P. Ramlee dan Jalan Tun Perak.
Ia diadakan pada 7 pagi hingga 9 pagi pada Ahad pertama setiap bulan, bermula di hadapan bangunan DBKL di Jalan Raja Laut.
#Australia #bandar #basikal #DBKL #kereta #KL #mncf
;