Program Kita-Untuk Kita Think City bentuk pemimpin muda berkualiti
Astro Awani
Mei 15, 2024 22:49 MYT
Mei 15, 2024 22:49 MYT
KUALA LUMPUR: Dalam usaha untuk memperkasa potensi pemimpin muda dalam kalangan komuniti perumahan awam, Persatuan Belia Seri Cempaka di bawah Program Kita-Untuk-Kita (K2K) oleh Think City telah menganjurkan Sidang Anak Muda K2K Sidang pertama pada 11 Mei 2024 bertempat di Dewan Tuna, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Cyberjaya.
Dengan menyediakan platform dan menganjurkan acara yang khusus ditujukan kepada golongan belia, K2K memperkasakan anak muda untuk menjadi penggerak komuniti dan golongan aktif dalam komuniti mereka. Platform seperti Sidang Anak Muda K2K dapat menggalakkan pemikiran kritis, penyelesaian masalah dan kebolehan pengucapan awam. Ini memupuk ruang di mana golongan belia boleh berbincang dan berkongsi pendapat dan kebimbangan mereka, membolehkan suara mereka didengari.
Dr. Shahridan Faiez, Pengarah Program K2K, berkata: "Generasi muda di perumahan awam adalah pemangkin transformasi masyarakat perumahan awam. Melabur dalam pembangunan anak muda adalah pelaburan untuk masa hadapan komuniti perumahan awam yang lebih cerah.”
“Dengan memberi belia kita peluang untuk menyerlahkan kemahiran dan keyakinan serta menjadi peserta aktif dalam kepimpinan, kita memperkasa mereka untuk melalui perubahan positif dan mencipta masa depan yang lebih cerah, bukan sahaja untuk diri mereka tetapi juga untuk komuniti dan Negara," tambah Dr. Shahridan.
Sidang Anak Muda K2K merupakan inisiatif bertujuan melatih dan melahirkan barisan pelapis pemimpin muda yang berkualiti, sejajar dengan keperluan negara. Melalui sidang ini, peserta diperkasa dengan kemahiran berdebat, berbincang, dan menyelesaikan masalah sebagaimana dalam suasana Parlimen.
Dari 20 usul yang dicadangkan di sesi latihan, lapan terpilih untuk dibangkitkan dalam Sidang Anak Muda K2K termasuk isu keciciran pendidikan, isu gangguan seksual, one-stop centre kaunseling, inisiatif memperkasa ekonomi anak muda, memperkukuh literasi kesihatan mental komuniti PPR, pembinaan pelan PPR yang moden dan komprehensif, dan pewujudan satu mekanisma pengurusan kewangan mengelak belia PPR muflis di waktu muda.
Ini memperkuat kepemimpinan, penyelesaian masalah, serta merangsang penglibatan aktif dan keyakinan diri anak muda. Semua usul ini telah dibahaskan oleh anak-anak muda dalam sidang yang berlangsung selama 2 hari ini, dan akan dikumpulkan dan dicadangkan kepada Kerajaan Perpaduan untuk dimurnikan oleh Kementerian bersesuaian dan untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2025.
Sidang Anak Muda K2K menampilkan belia daripada 10 perumahan awam; PASeri Selangor, PA Seri Sarawak, PA Hang Tuah, PPR Seri Cempaka, PA Seri Kota, PPR Taman Mulia, PA Seri Sabah 3A, PPR Desa Tun Razak, PPR Kampung Baru HICOM dan PPR Lembah Subang 1 di bawah Program K2K.
Program K2K yang disokong oleh Kementerian Kewangan melalui Belanjawan Negara bermatlamat untuk meningkatkan kualiti hidup dan daya huni di perumahan awam. Ia memberi tumpuan untuk memperkasakan penghuni perumahan awam, terutamanya golongan belia.
Dengan adanya generasi baru penggerak komuniti momentum transformasi perumahan awam semakin meningkat sekali gus menyumbang kepada pembentukan masyarakat Malaysia Madani.