Program kesedaran kepada belia tentang bahaya Militan

Bernama
Julai 5, 2014 14:06 MYT
KHAIRY: Para belia dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan kegiatan militan. -gambar fail
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengadakan program khusus untuk memberikan kesedaran kepada golongan belia mengenai bahaya kegiatan militan.
Menterinya Khairy Jamaluddin berkata pihaknya akan mengadakan program itu dengan menggunakan pendekatan sederhana iaitu dengan cara wasatiyah kepada golongan belia agar tidak mudah terpengaruh dengan pengaruh anasir yang tidak diingini itu.
"Kita akan sentiasa adakan program untuk ingatkan belia dan cara kita cara sederhana bukan hanya pergi ke Timur Tengah untuk berperang kerana ini bukan cara yang kita rasa betul," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pengagihan zakat dan berbuka puasa di Sekolah Menengah Kebangsaan Jias di sini malam tadi.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata para belia dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan kegiatan militan dan tidak sepatutnya mencontohi kumpulan itu di luar negara.
Pembabitan golongan belia dalam aktiviti militan seperti dilakukan oleh kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Levant (ISIL) adalah tidak wajar di contohi, tambahnya.
"Kita kena sentiasa beri peringatan kepada belia bahawa cara yang diamalkan oleh ISIL tidak wajar dicontohi sebab itu bukan cara untuk kita buat perubahan dalam masyarakat kita.
"Walau apa pun hasrat mereka untuk bawa perubahan ia bukanlah melalui cara militan seperti mana kita lihat di Iraq dan Syria pada hari ini," katanya.
Khairy berkata golongan belia juga tidak sepatutnya mencontohi tindakan beberapa orang rakyat Malaysia yang telah ke Iraq dan Syria untuk berjuang bersama ISIL.
"Ini adalah contoh yang sangat tidak baik dan merupakan satu tindakan yang keterlaluan, ini bukan jihad yang sebenar. Ada yang kata mereka syahid, mereka adalah pejuang tetapi bukan dengan cara (militan) yang mereka amalkan di sana," katanya.
Sejak 28 April lalu, polis menahan 19 orang yang dipercayai terbabit dalam rangkaian militan di Syria dan selatan Filipina dan sedang mengesan lima lagi termasuk seorang pensyarah universiti.
#KBS #Kementerian Belia dan Sukan #Khairy Jamaluddin #militan
;