Program Kembali Ke Sekolah usaha AIM bantu ringankan beban usahawan terjejas akibat pandemik

Astro Awani
Februari 20, 2022 22:12 MYT
Pengarah Urusan Amanah Ikhtiar Malaysia, Mohamed Shamir Abdul Aziz menyampaikan bantuan kelengkapan persekolahan semasa Program Kembali Ke Sekolah Anak-Anak Sahabat. - Foto: Ihsan AIM
KUALA LUMPUR: ‘Program Kembali Ke Sekolah’ merupakan sebahagian daripada usaha dilakukan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi meringankan beban usahawan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 di bawah organisasi tersebut.
Menurut Pengarah Urusan AIM, Mohamed Shamir Abdul Aziz, pemberian kelengkapan persekolahan ini juga diharap dapat menceriakan dan memberi semangat untuk anak-anak usahawan AIM melangkah semula ke alam persekolahan setelah lama menjalani pembelajaran di rumah sepanjang tahun lalu.
“Ia juga diharap dapat mengeratkan hubungan pihak pengurusan AIM dan Sahabat Usahawan yang dilihat mula bangkit untuk menjalankan aktiviti ekonomi selain kembali menjalani kehidupan yang normal.
“1,000 penerima sumbangan berupa kelengkapan pakaian persekolahan, alat tulis, beg dan kasut sekolah kali ini, merupakan anak-anak Sahabat Usahawan AIM di Pulau Pinang yang masih bersekolah rendah,” katanya dalam sattu kenyataan pada Ahad.
Untuk rekod, Pulau Pinang merupakan antara negeri yang cemerlang dari segi pembayaran balik pinjaman seramai 5,767 Sahabat Usahawan AIM di negeri itu.
Sehingga hari ini, jumlah kumulatif pembiayaan yang telah dikeluarkan untuk seluruh Pulau Pinang ialah RM1.1 bilion dan bagi tahun 2022, sebanyak RM39.7 juta diperuntukkan.
#COVID-19 #Program Kembali Ke Sekolah #Amanah Ikhtiar Malaysia #usahawan #Sahabat Usahawan AIM #pulau pinang
;