Program 'Kembali Ke Sekolah' RMHC peruntuk lebih RM1.66 juta suntik semangat pelajar
Ehsan A Marisah
Disember 17, 2021 10:00 MYT
Disember 17, 2021 10:00 MYT
TAMPIN: McDonald’s Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) memperuntukkan lebih RM1.66 juta bagi membantu lebih 21,000 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di seluruh negara menerusi program ‘Kembali Ke Sekolah’ pada tahun ini.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia merangkap Presiden RMHC Malaysia, Azmir Jaafar berkata, program tersebut merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat bertujuan memberi motivasi kepada pelajar dalam pendidikan sejak 2017.
“Program ini merupakan lebih dari usaha bagi membantu keluarga yang kurang berkemampuan. Saya percaya program ‘Kembali Ke Sekolah’ memainkan peranan penting dalam menggalakkan pelajar untuk meneruskan pendidikan mereka apabila tahun baru persekolahan bermula nanti.
“Pendidikan formal adalah kritikal kerana ia membolehkan sifat seseorang pelajar itu dibentuk dan seterusnya menjadi seorang yang dihormati,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Kembali Ke Sekolah | RMHC peruntuk lebih RM1.66 juta bantu pelajar
Dalam pada itu, tambah Azmir, sumbangan yang diberikan berupa pek mengandungi beg sekolah, botol air, alat tulis dan sepasang kasut sekolah.
“Melalui program pek ‘Kembali Ke Sekolah’ ini, kami harap ia dapat menjadi motivasi untuk kanak-kanak ini berjaya dalam pendidikan mereka.
“Mereka adalah masa depan negara kita, mereka juga bakal menjadi pemimpin dan peneraju pelbagai industri,” ujarnya.
Setakat tahun ini, hampir RM9 juta telah dibelanjakan untuk pek tersebut yang diagihkan kepada lebih 95,000 kanak-kanak di seluruh negara.
Terdahulu, Azmir menyampaikan replika cek sumbangan pek ‘Kembali Ke Sekolah' 2021 bernilai RM25,000 kepada Sekolah Kebangsaan Felda Pasir Besar, Gemas di sini.