Program Kampung Angkat Madani tingkatkan kualiti hidup masyarakat desa

Faida Rahim
Januari 11, 2025 18:43 MYT
Dari jumlah kos yang dimanfaatkan untuk Kampung Orang Asli Kelinsing, NADI telah disiapkan khusus untuk kampung tersebut dengan kos sekitar RM1.8 juta. - Bernama
SEPANG: Kementerian Komunikasi menerusi program Kampung Angkat Madani menaik taraf fasiliti di Kampung Orang Asli Kelinsing, Sepang dengan kos sekitar RM4.3 juta.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, sebahagian besar kos ditampung kementeriannya manakala Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyediakan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dalam usaha memberi nilai tambah kepada kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, dalam tinjauan awal, kawasan itu didapati tidak tidak mempunyai dewan yang sesuai untuk membolehkan penduduk melaksanakan program pelancongan budaya dan tradisi serta aktiviti komuniti.
"Lokasi ini telah dipilih sekitar bulan Julai dan Ogos tahun lalu. Setelah melawat kawasan, kita lihat ada beberapa fasiliti prasarana yang perlu kita tambah baik," ujar beliau pada Sabtu, selepas Majlis Perasmian Kampung Angkat Madani Kementerian Komunikasi di kampung berkenaan.
Dari jumlah kos yang dimanfaatkan untuk Kampung Orang Asli Kelinsing, NADI telah disiapkan khusus untuk kampung tersebut dengan kos sekitar RM1.8 juta.
Sementara itu, antara skop perancangan projek adalah merangkumi pembinaan semula balai budaya, kantin, tandas awam; pembinaan baharu ruang niaga dan menaik taraf infrastruktur serta pelaksanaan program keceriaan.
"Harapan saya dengan beberapa prasarana yang telah disiapkan, bukan hanya Kampung Orang Asli Kelinsing akan dapat manfaat, malah lebih kurang 15 kampung Orang Asli di daerah Sepang juga dapat manfaat sama.
"Kita juga dapat lihat ada kiosk untuk jualan dan harapan saya, dengan NADI Kelinsing, komuniti dapat manfaat pembelajaran tentang sama ada geran, dan bantuan kerajaan, serta meningkatkan kemahiran untuk keusahawanan terutama dalam platform e-dagang.
"Kita dapati banyak produk tempatan yang boleh diketengahkan selain daripada kraftangan yang berpotensi untuk dipromosi dan dijual. Salah satu produk, ubi kacau yang belum pernah saya lihat tetapi sangat enak untuk dimakan.
"Saya harap dengan kemudahan yang ada di Kampung Angkat Madani ini, ia membawa potensi bagi komuniti Orang Asli di sini," katanya.
#MCMC #Kampung Angkat MADANI #Fahmi Fadzil #Kg Orang Asli Kelinsing
;