Program Jualan Ehsan Rahmah diperluas ke 12 lokasi sehari bermula Ogos

Bernama
Julai 20, 2023 21:20 MYT
Mohamad Khairil berkata inisiatif yang berlangsung selama lima bulan itu adalah antara langkah bagi membantu mengurangkan kos sara hidup terutamanya dalam kalangan B40 di negeri ini. - Gambar Bernama
KLANG: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang dilaksanakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diperluas ke 12 lokasi sehari bermula 1 Ogos ini berbanding sembilan lokasi sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata inisiatif yang berlangsung selama lima bulan itu adalah antara langkah bagi membantu mengurangkan kos sara hidup terutamanya dalam kalangan B40 di negeri ini.
"Peluasan inisiatif ini juga antara lain bagi menampan impak jika berlakunya kenaikan harga barangan dan kemungkinan jika mendapat sambutan menggalakkan dan keadaan lebih memerlukan, kita akan tambah hingga 15 lokasi sehari.
"Ini adalah persediaan dan juga program-program yang telah kita rangka bagi mengurangkan impak terhadap kenaikan harga barangan seperti yang telah digembar-gemburkan sebelum ini terhadap rakyat terutama rakyat Selangor. Kita tidak tahu sama ada benar atau tidak akan terjadi kenaikan tetapi kita bersedia dan sentiasa cakna," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program JER di Balairaya Penghulu Johan Setia di sini hari ini.
Mohamad Khairil berkata peluasan inisiatif berkenaan turut dipersetuju Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Inisiatif JER dimulakan pada September tahun lepas dengan dilaksanakan di sembilan daerah hampir setiap hari dan menawarkan enam barangan keperluan asas pada harga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.
Beliau berkata PKPS akan bekerjasama dengan ahli majlis pihak berkuasa tempatan dan pejabat penyelaras Parlimen dalam mengenal pasti lokasi untuk inisiatif berkenaan dilaksanakan.
"Kita akan kenal pasti dan tengok keperluan berdasarkan nasihat daripada pejabat Parlimen di mana kawasan yang bersesuaian untuk kita laksanakan kerana kita perlu tumpukan untuk rakyat B40 seperti di kawasan flat (perumahan kos rendah)," katanya.
Sementara itu, suri rumah, Hawa Sahlan, 48, berkata inisiatif JER amat baik kerana dapat membantunya mengurangkan perbelanjaan isi rumah manakala pekerja kilang Arifin Panot, 51, pula menyifatkan ia sebagai program yang berbaloi untuk berbelanja.
"Kalau kat luar (harga) dah jadi satu kali ganda. Kita pun berbelanjalah di program ini kerana kita boleh jimat banyak," kata Arifin yang memiliki empat anak masih bersekolah.
-- BERNAMA
#Parlimen #Jualan Ehsan Rahmah #PKPS #B40
;