Program ISS: Rawatan percuma hingga RM10,000 setahun untuk rakyat Selangor

Nabilah Khaleeda
September 19, 2024 09:45 MYT
Program Iltizam Selangor Sihat mensasarkan seramai 100,000 pemohon dan keluarga berdaftar khusus kepada rakyat Selangor terutama kepada yang berpendapatan rendah (B40) bagi diamanfaatkan dari segi rawatan asas dan manfaat perlindungan.
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor terus komited dalam menyediakan kemudahan kesihatan kepada Rakyat Selangor melalui Program Iltizam Selangor Sihat (ISS).
Menurut Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Negeri Selangor, Jamaliah Jamaluddin, program yang diperkenalkan merupakan salah satu inisiatif utama Kerajaan Negeri ini bertujuan memastikan rakyat Selangor, khususnya golongan berpendapatan rendah mempunyai akses yang mudah dan mampu untuk mendapatkan rawatan kesihatan di klinik dan hospital swasta yang terpilih.
Program Iltizam Selangor Sihat (ISS): Kemudahan kesihatan komprehensif untuk rakyat Selangor
“Sebanyak RM35 juta telah diperuntukkan bagi program ini dengan sasaran seramai 100,000 ahli.
“Sehingga kini, lebih daripada 45,000 individu telah mendaftar dan menikmati manfaat-manfaat yang disediakan melalui ISS.
“Antara manfaat utama yang boleh dinikmati ahli ISS termasuk rawatan asas yang bernilai RM500 setahun untuk kategori keluarga dan RM250 setahun untuk kategori individu.
“Had rawatan untuk setiap sesi rawatan adalah sebanyak RM70,” jelasnya.
Tambah beliau, ahli juga berpeluang mendapatkan vaksinasi terpilih seperti vaksin influenza, pneumococcal, meningococcal, tifoid, dan hepatitis B di klinik-klinik swasta yang berdaftar sebagai panel.
“Tidak hanya tertumpu kepada rawatan asas, Program ISS juga menawarkan manfaat tambahan seperti khairat kematian semulajadi sebanyak RM5,000 dan tuntutan penyakit kritikal sehingga RM5,000 bagi penyakit-penyakit seperti kanser, strok, kencing manis, dan penyakit buah pinggang bagi ahli utama ISS.
“Lebih menarik, pada 2024, manfaat hospitalisasi bernilai RM10,000 setahun telah diperkenalkan kepada ahli utama ISS untuk menampung kos kemasukan ke hospital swasta panel,” katanya.
Mengulas lanjut, Jamaliah berkata, manfaat hospitalisasi ini meliputi pelbagai kos rawatan seperti bilik hospital, ubat-ubatan, dan konsultasi, dan meliputi 103 jenis penyakit, termasuk demam denggi, keracunan makanan, influenza, dan lain-lain.
“Jumlah penyakit yang dilindungi akan terus ditambah mengikut keperluan dan keadaan kesihatan semasa.
“Justeru, untuk melayakkan diri menerima manfaat Program ISS, pemohon mestilah merupakan anak Selangor atau telah bermastautin di negeri ini selama lebih daripada 10 tahun dan berdaftar sebagai pengundi di Selangor. Kategori pemohon dibahagikan kepada dua, iaitu keluarga dengan pendapatan isi rumah di bawah RM3,000 serta tanggungan berusia 21 tahun ke bawah yang masih belajar.
“Ia termasuk warga emas atau orang kelainan upaya (OKU) berusia 21 tahun ke atas yang berpendapatan RM2,000 ke bawah bagi kategori individu,” katanya ketika ditemu bual dalam program Niaga AWANI pada Selasa lepas.
Permohonan untuk menyertai Program ISS ini boleh dilakukan secara dalam talian melalui Aplikasi Selangkah atau secara manual dengan mengisi borang permohonan dan mengemukakan dokumen sokongan yang diperlukan seperti salinan kad pengenalan, penyata gaji dan bukti pemohon mendaftar undi di Selangor.
Borang dan dokumen ini boleh dihantar ke Pejabat DUN atau Pejabat Penyelaras DUN yang berdekatan.
Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut, pemohon boleh melayari laman sesawang rasmi iltizamselangorsihat.com atau menghubungi talian hotline ISS yang beroperasi 24 jam di 1-800-22-6600.
#negeri Selangor #Iltizam Sihat Selangor #jamaliah jamaluddin #kesihatan
;