Program imunisasi 'walk-in' di Sandakan terkawal - Polis
Bernama
Ogos 12, 2021 21:28 MYT
Ogos 12, 2021 21:28 MYT
SANDAKAN: Program imunisasi secara jumpa terus (walk-in) di Taman Harmoni di sini dilaksanakan dalam keadaan terkawal meskipun jumlah penduduk yang hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 di luar dugaan seperti yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Mohd Azhar Hamin berkata pihaknya telah mengambil tindakan segera dengan membuat kawalan dan hebahan agar prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka dipatuhi.
"Pasukan pematuhan berjaya mengawal keadaan sehingga program selesai. Pihak polis memohon kerjasama daripada orang ramai supaya terus mematuhi SOP yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebuah video berdurasi 29 saat tular di media sosial menunjukkan suasana orang ramai yang hadir mendapatkan vaksinasi COVID-19 secara jumpa terus di dewan di Taman Harmoni pagi tadi.
Sementara itu, ketika dihubungi, Pegawai Kesihatan Sandakan Dr Johari Awang Besar mengakui kehadiran orang ramai di Taman Harmoni itu di luar jangkaan kerana hanya 360 dos sahaja yang dapat diberikan.
"Ramai yang terpaksa diminta pulang. Kita boleh lihat masyarakat menyambut baik vaksinasi COVID-19 ini," katanya.
Katanya, program di Taman Harmoni itu hanya untuk hari ini bermula jam 9 pagi hingga 2 petang.
Ketika ditanya sama ada program vaksinasi secara jumpa terus akan disambung di Sandakan, Dr Johari berkata pengumuman mengenainya akan dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Wong Foo Tin.
#vaksin
#program vaksinasi
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
#Sandakan
#Sabah
#ppv taman harmoni
#diserbu
#sesak