Program Imunisasi COVID-19 dilancar di Sabah, Hajiji jadi penerima pertama

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Mac 4, 2021 13:05 MYT
Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech hari ini. - Foto BERNAMA
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah telah menubuhkan 195 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di negeri itu.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, program imunisasi yang sedang berlangsung adalah sebahagian daripada fasa pertama program itu khusus untuk barisan hadapan yang terdiri daripada pekerja perubatan dari Kementerian Kesihatan dan juga kakitangan bukan perubatan.
"Saya menjadi orang pertama menerima suntikan vaksin COVID-19 ini dan semua berjalan dengan baik.
"Diharapkan imunisasi ini akan berjalan lancar sehingga kita dapat menyuntik keseluruhan rakyat Sabah yang tinggal di Sabah untuk kita menangani masalah jangkitan COVID-19 ini.
"Pihak kerajaan juga telah menyediakan 195 Pusat Pemberian Vaksin di seluruh Sabah agar program imunisasi ini akan berjalan dengan baik dan akan sampai ke setiap pelusuk negeri Sabah dan rakyat kita akan menerima suntikan ini sebaik-baiknya," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Vaksinasi Peringkat Negeri Sabah di Kota Kinabalu pada Khamis.
BACA: Ikuti perkembangan berita terkini vaksin COVID-19. KLIK di sini.
[SIDANG MEDIA] Ketua Menteri Sabah berkenaan Program Imunisasi COVID-19
Jelasnya program imunisasi pada Khamis adalah di bawah fasa pertama yang akan berlangsung sehingga April.
"Fasa kedua bermula April sehingga Ogos akan melibatkan warga emas berusia 60 tahun ke atas serta mereka yang berada dalam kumpulan berisiko tinggi dengan penyakit kronik.
"Fasa ketiga yang melibatkan orang dewasa berumur 18 tahun ke atas akan bermula pada bulan Mei dan akan berlanjutan sehingga Februari tahun depan," katanya lagi.
"Tidak perlu kita berasa bimbang, ada rakyat kita fikir bahawa suntikan ini akan mendatangkan mudarat, itu tidak betul. Kita menerima suntikan ini yang akan melindungi kita dari COVID-19 ini.
"Janganlah kita dengar cerita-cerita di luar sana kerana semuanya akan berjalan dengan baik dan semua yang telah menrrima suntikan ini mendapat satu perlindungan yang telah pun diyakini," tambahnya.
Pada Khamis seramai 60 individu yang terdiri dari petugas barisana hadapan menerima suntikan vaksin terbabit dan akan diikuti secara berperingkat buat 42,117 petugas barisan hadapan.
#vaksin #COVID-19 #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #Kota Kinabalu #Kementerian Kesihatan #Ketua Menteri Sabah #Hajiji Noor #Pfizer #BioNTech
;