Program Imunisasi COVID-19 bakal tingkat pelaburan - Pakar ekonomi
Astro Awani
Februari 21, 2021 12:56 MYT
Februari 21, 2021 12:56 MYT
KUALA LUMPUR: Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan meningkatkan pelaburan sekali gus menjadikan pengguna berbelanja lebih dalam pasaran negara.
Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, walaupun ia memerlukan masa namun keyakinan kepada program itu akan membantu pasaran saham dan membuka kepada kepada kegiatan ekonomi yang lebih besar.
"Jadi saya kira dari sudut ekonomi sebenar itu, mungkin dari segi realitinya masih lagi lambat seiring dengan proses pemvaksinan itu.
"Namun langkah yang telah diumumkan mengenai vaksin seharusnya banyak membantu dalam meningkatkan keyakinan, jadi perlahan-lahan ekonomi akan bergerak seiring dengan program vaksin dan ini disusuli dengan bantuan-bantuan yang telah diberikan kerajaan dari segi ekonomi dan lain-lain.
"Itu akan banyak membantu menyokong untuk dalam menyokong proses pemulihan ekonomi akan lebih berdaya saing pada masa akan datang," katanya semasa sidang video pada Ahad.
Pada Ahad, pesawat Malaysia Airlines MH604 dihiasi Jalur Gemilang yang membawa kumpulan pertama bekalan vaksin COVID-19 Malaysia selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 10 pagi.
Vaksin Pfizer-BioNTech itu diterbangkan menggunakan pesawat Airbus 330-300 dikendalikan MABkargo Sdn Bhd (MASKargo) dari kilang Pfizer di Belgium, dengan penerbangan membawa vaksin itu berlepas dari Puurs dan transit di Lapangan Terbang Leipzig Halle, Jerman.
Dalam pada itu kata Dr Mohd Afzanizam, ekonomi tahun ini dijangka lebih baik berbanding 2020.
Bagaimanapun jelasnya, ia bergantung kepada proses ekonomi itu sendiri selain angka jangkitan pandemik yang akan mempengaruhi momentum pemulihan ekonomi itu sendiri.
Sebelum ini, Dr Mohd Afzanizam berkata, ketidakpastian ekonomi dunia berikutan jangkitan COVID-19 dijangka memacu Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sehingga 25 mata asas (bps).
Ujarnya, meskipun penurunan sebanyak 1.75 peratus itu adalah kadar terendah dalam sejarah negara, namun ia perlu bagi memastikan ekonomi dapat dipacu dengan lebih baik lagi.