Program iftar tarik 300 peserta bukan Muslim
Bernama
Mac 24, 2024 08:38 MYT
Mac 24, 2024 08:38 MYT
PUTRAJAYA: Rasa kasih sayang dan keprihatinan terhadap kepercayaan dan agama berbeza mendorong seorang pelajar pascasiswazah bukan Muslim meluangkan masa lebih lima jam di Masjid Putra di sini semalam.
Berasal dari North Carolina, Amerika Syarikat, Olivia Price, 24, yang juga penuntut Universiti Malaya (UM) berkata berada lebih setahun di Malaysia telah mengajarnya lebih mendalam mengenai masyarakat pelbagai kaum dan perbezaan budaya.
"Saya sedang melanjutkan pengajian sarjana dalam kaunseling, iaitu sebab lain mengapa saya sangat mengambil berat tentang apa yang orang percaya kerana apa yang anda percaya mempengaruhi tindakan anda.
"...dan saya sangat berminat dengan kepercayaan dan agama berlainan. Saya berpendapat program ini sangat berinformasi dan saya banyak belajar mengenai Islam dan saya merasakan ia ruang yang baik untuk bertanya memandangkan ia sangat membantu kerana saya mahu memahami pandangan berbeza," katanya ketika ditemui pada program Iftar Ramadan Bersama Pelancong Bukan Muslim di sini semalam.
Price antara 300 individu bukan Muslim yang menyertai program anjuran Masjid Putra dan Pusat Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) itu.
Berkongsi sentimen sama Del Zook, 24, juga dari North Carolina yang pertama kali berada di dalam masjid dan teruja menyertai majlis berbuka puasa bersama rakan Muslim.
"Memang hebat dapat bersama rakyat Malaysia dan menarik belajar mengenai agama ini (Islam) dan masjid," kata pelajar pascasiswazah semester ketiga UM itu.
Pegawai Perhubungan Awam Masjid Putra Ahmad Najib Aris berkata program tahunan tersebut dimulakan dengan taklimat ringkas mengenai agama Islam disusuli sesi soal jawab mengenai ibadah puasa oleh petugas ABIM Outreach yang juga dikenali sebagai Mosque Tour Guide dan diakhiri dengan sesi berbuka puasa beramai-ramai.
"Acara signifikan ini bertujuan mengeratkan hubungan sesama masyarakat Islam dan bukan Islam selain mempromosikan keindahan Masjid Putra kepada pelancong," katanya.
-- BERNAMA