Program harta intelek bertujuan tarik minat anak muda - Hamzah
Bernama
Mei 4, 2017 20:19 MYT
Mei 4, 2017 20:19 MYT
Program pembelajaran yang menyeronokkan iaitu Intellectual Property (IP) Funtastic dan IP Summer Camp diperkenalkan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk memupuk budaya inovasi dan sifat ingin tahu di kalangan generasi muda.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata program itu bertujuan untuk memacu inovasi di peringkat akar umbi dari sekolah-sekolah menengah terpilih di seluruh negara.
"Menjelang TN50 (Transformasi Nasional 2050), kita perlu secara kolektif memahami bahawa amatlah penting untuk membangunkan IP sebagai faktor penyumbang penting untuk mencapai hasrat kita sebagai antara 20 negara perdagangan utama di dunia.
"Pelaburan terbesar kita ialah untuk mentransformasi, membina generasi masa depan dalam meningkatkan inovasi dan memupuk budaya mengambil risiko yang akan melengkapkan aspirasi TN50," kata beliau pada pelancaran Persidangan Indeks Inovasi Global 2017 anjuran MyIPO di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi MyIPO Datuk Abdul Manan Ismail.
Beliau berkata bahawa penemuan daripada program-program ini akan dipaparkan untuk potensi dipatenkan dan disenaraikan dalam Portal IP bagi Anak Muda dengan tujuan untuk dikomersialkan.
Persidangan dua hari itu yang bermula semalam dihadiri oleh 120 peserta termasuk pengamal IP, penggubal dasar dan ahli akademik, bertujuan untuk meningkatkan industri inovasi negara.
Sementara iu, Abdul Manan berkata MyIPO telah melantik tujuhn buah sekolah di seluruh Malaysia untuk terlibat dalam program dan merancang supaya lebih banyak sekolah menyertai untuk program tahun depan.
Beliau berkata Malaysia berada di kedudukan ke-35 daripada 128 negara dan di tangga kedua di kalangan negara ASEAN dalam bidang inovasi.
-- BERNAMA