Program Go Green With SASET beri manfaat kepada masyarakat Orang Asli
Afiq Ariffin
September 3, 2019 19:08 MYT
September 3, 2019 19:08 MYT
Kerja-kerja penanaman anak Pokok Nadir yang dilaksanakan Sultan Ahmad Shah Enviroment Trust (SASET) di Hutan Simpan Tekai Tembeling, di sini memberi manfaat kepada masyarakat Orang Asli dari suku kaum Negrito dan Batek.
Selain bertujuan menghijaukan kawasan hutan simpan, Pengerusi SASET, Tengku Fahd Mua’adzam Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkata, program Go Green with SASET itu akan menjadi sumber tambahan kepada masyarakat Orang Asli.
“Dengan adanya program seperti ini, mereka dapat menikmati dan menambah pendapatan dengan hasil yang dikeluarkan oleh pokok-pokok yang baru ditanam kerana keunikan masyarakat Orang Asli suku Negrito dan Batek ini masih meneruskan amalan berpindah-randah atau nomad yang diwarisi sejak turun-temurun,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tengku Fahd berkata, masyarakat minoriti itu juga cukup sinonim dengan alam semula jadi dan hanya ditemui di tiga buah negeri di Semenanjung Malaysia iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu.
Katanya, masyarakat Orang Asli sekitar Jerantut tidak mengamalkan sebarang aktiviti bercucuk tanam dan hanya bergantung kepada hasil hutan, sungai dan berburu.
“Dengan berbuat sedemikian, kita bukan sahaja dapat merapatkan diri dengan alam semula jadi, malah peserta juga diberi peluang untuk belajar mengenai spesies pokok bersama penduduk setempat.
“SASET komited untuk menjadikan negeri ini lebih hijau dan kami berharap usaha ini dapat diteruskan agar lebih banyak pokok-pokok hijau ditanam secara meluas di seluruh Pahang agar dapat memastikan pembangunan fizikal negeri beriringan dengan pemeliharaan alam semula jadi,” katanya.
Untuk rekod, terdapat kira-kira 262 perkampungan Orang Asli dengan jumlah 78,636 penduduk di seluruh Pahang dan dianggarkan 900 Orang Asli suku Batek di daerah Jerantut serta Lipis.
Program Go Green With SASET itu diilhamkan Tengku Fahd Mua’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Shah Al-Mustain Billah sejak 2011.
Hadir sama, tetamu istimewa dari Indonesia, Sultan Indragiri XXVII Tengku Parameswara Arif dan keluarganya, Naib Presiden SASET Dato Aida Jusuf, Ketua Kempen SASET Dato Mohammad Ezan Ahmad, Pengarah Perhutanan Negeri Pahang Datuk Dr. Mohd. Hizamri Mohd. Yasin.
Sehingga kini, SASET telah menanam sebanyak 121,012 pokok sekitar Pahang Darul Makmur dengan kerjasama JPNP dan penglibatan pelbagai pihak lain termasuk NGO, syarikat korporat dan persendirian.