Program francais 7-Eleven kembali lagi
Bernama
Februari 27, 2018 16:28 MYT
Februari 27, 2018 16:28 MYT
7-Eleven Malaysia Holdings Bhd (SEM), pemilik dan pengendali kedai 7-Eleven di Malaysia, kini menawarkan semula program francaisnya untuk usahawan tempatan.
Syarikat itu melancarkan pakej francais yang memerlukan pelaburan sebanyak RM250,000 bagi mereka yang bersedia untuk mengendalikan dan menguruskan kedai secara sepenuh masa.
Program berkenaan amat sesuai untuk siswazah menganggur dan generasi milenial yang amat berminat dalam keusahawanan kerana seseorang itu mendapat pengalaman yang tidak ternilai dalam menguruskan perniagaan sendiri.
Pemegang saham utama SEM, pengasas Berjaya Group Tan Sri Vincent Tan berkata, 7-Eleven di Malaysia mempunyai rekod perniagaan yang baik dan mencapai kejayaan tidak sukar dengan syarat seseorang itu sedia bekerja keras dan kerja dalam masa yang lama.
"Apabila penerima francais belajar menguruskan kedai dengan baik dan berjaya, mereka akan diberi peluang untuk mengendalikan lebih banyak kedai dan akhirnya dapat menjadi pengendali pelbagai kedai sehingga memperoleh lebih banyak pendapatan untuk diri sendiri.
"Terdapat banyak pilihan pembiayaan yang tersedia untuk mereka yang berminat dari pelbagai agensi kerajaan dan seseorang perlu mengambil kesempatan dan berusaha untuk memenuhi semangat dan keinginan keusahawanan seseorang," katanya dalam satu kenyataan.
SEM merancang untuk melabur RM70 juta tahun ini untuk membuka kira-kira 200 kedai baru dan mengubah suai kedai lain. Setakat akhir tahun lepas, syarikat mempunyai 2,225 kedai dengan kurang 10 peratus difrancaiskan.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif 7-Eleven Malaysia, Ho Meng berkata, perbelanjaan RM250,000 itu termasuk yuran francais awal yang tidak dikembalikan dan deposit yang boleh dikembalikan untuk stok dan sebagai jaminan bakal penerima francais akan memperoleh kembali.
"Ia hanya jaminan bahawa penerima francais baru akan mematuhi kewajipan dan prestasi mereka," katanya.
"Model francais kami adalah berdasarkan perkongsian keuntungan di mana SEM bertanggungjawab untuk perbelanjaan seperti pajakan hartanah, peralatan kedai, insurans am, audit inventori, dagangan dan perkhidmatan pemasaran serta menyediakan latihan penuh dan sokongan perundingan operasi," katanya.
Maklumat lanjut mengenai program francais itu boleh didapati dengan melayari www.7eleven.com.my.
-- BERNAMA