Program Food Bank jadi kebanggaan Saifuddin

Wan Syamsul Amly
April 25, 2019 18:00 MYT
SAIFUDDIN: Program Food Bank merupakan program pantas kementeriannya yang memberi kesan kepada jutaan rakyat negara ini. - Gambar Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Program Food Bank menjadi perkara yang paling dibanggakan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelang setahun menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Katanya, ia merupakan program pantas kementeriannya yang memberi kesan kepada jutaan rakyat negara ini.
"Selain itu saya juga diberikan kepercayaan oleh jemaah menteri untuk KPDNHEP menjadi peneraju ke arah pelaksanaan subsidi bersasar RON95. Kebanggaan itu akan bertambah jika saya berjaya melaksanakannya nanti.
"Selain itu apabila dilantik menjadi Ahli Majlis Ekonomi Negara yang dipengerusi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya semasa sidang media khas di kementeriannya di sini, pada Khamis.
Jelasnya lagi, Majlis Ekonomi Negara akan menjadi langkah untuknya melakukan analisis rantaian makanan.
"Kami yakin ini penting untuk membantu kementerian memahani berapa lapis rantaian terlibat sebelum harga akhir sampai ke pengguna, di semua peringkat penjual sehingga pembeli kita boleh lihat apa sebab terjadinya kenaikan harga," katanya.
Dalam pada itu katanya, tiga perkara yang mahu dicapai di KPDNHEP adalah tekad membantu rakyat menurunkan kos sara hidup, kembangkan e-dagang, mahu sebuah negara dengan pengguna celik maklumat selain membantu kerajaan memastikan skim subsidi, agihan subsidi yang telus.
Sementara itu tambahnya, aduan paling tinggi diterima KPDNHEP pada 2018.
"Kita terima 26,000 aduan, 30.8 peratus adalah aduan kenaikan harga barang dandaripada jumlah itu, 50 peratus aduanharga minuman dan makanan.
"Selain itu, 20.8 peratus adalah aduan tipu atas talian, 16 peratus, aduan iklan yang mengelirukan dan 2.5 peratus, aduan beli barang tiruan," ujarnya.
#KPDNHEP #Mahathir Mohamad #Majlis Ekonomi Negara #Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna #Program Food Bank #rantaian makanan #Saifuddin Nasution Ismail
;