Program F4S: Potensi lahir bakat muda bola sepak, terap nilai murni

Bernama
Ogos 3, 2024 14:14 MYT
Fadhlina bersama para peserta pada Pelancaran FIFA ‘Footbal For School & Woman Football’ di padang SMK Tasek hari ini. - Gambar Bernama
NIBONG TEBAL: Pengenalan program FIFA Football for Schools (F4S) oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bukan sekakar berpotensi melahirkan bakat muda dalam sukan bola sepak tetapi turut menerapkan nilai-nilai murni yang boleh diadaptasi dalam kehidupan seharian.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata menerusi program itu pelajar terlibat dapat membina karakter, jati diri dan kepimpinan selaras Falsafah Pendidikan Negara (FPN) yang menekankan kemenjadian murid melalui pembangunan holistik.
Di samping itu, beliau berkata ia juga dapat meningkatkan akses sukan kepada murid bertepatan dengan hasrat 1 Sukan 1 Murid Kementerian Pendidikan (KPM).
"Saya dimaklumkan bahawa program F4S ini melibatkan modul yang sangat penting bukan sekadar berkisar tentang pembangunan bola sepak tetapi pembangunan karakter dan difahamkan program ini bukan sahaja memberikan tumpuan kepada bakat sukan tetapi juga pelajar kurang berkemampuan maknanya kita beri ruang kepada anak-anak di luar bandar untuk menyertainya.
"Justeru, saya berharap mudah-mudahan program ini akan diteruskan supaya dapat membangunkan lebih banyak bakat berpotensi untuk diketengahkan dalam sukan bola sepak selain pembangunan karakter," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan program itu dan Kempen Bola Sepak Wanita FIFA di Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Permai di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk S. Sivasundaram.
Program dengan kerjasama UNESCO itu melibatkan kanak-kanak lelaki dan perempuan di seluruh dunia melalui 211 Persatuan Ahli FIFA dan di Malaysia ia melibatkan kerjasama antara FAM dengan KPM.
Kolaborasi dengan KPM itu bermula sejak tahun lepas menerusi penglibatan 150 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara dan kini diperluaskan kepada 237 sekolah iaitu 155 sekolah kebangsaan; 52 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil serta 30 sekolah pendidikan khas.
Di Pulau Pinang pula, Fadhlina berkata program itu dilaksanakan di 22 sekolah dengan penglibatan lebih 1,000 pelajar.
Sementara itu, Sivasundaram berkata inisiatif mengadakan program F4S menjadi langkah penting dalam usaha mengintegrasikan bola sepak ke dalam sistem pendidikan negara.
"F4S bukan saja sekadar bermain bola sepak tetapi juga membentuk kemahiran hidup dan tingkah laku positif yang penting untuk diterapkan pembangunan kendiri.
"Bola sepak mengajar kita tentang kerjasama berpasukan, disiplin, berdaya tahan di samping nilai-nilai murni yang penting dalam kehidupan seharian, manakala kempen bola sepak wanita FIFA pula diharap menarik lebih ramai pelajar perempuan untuk bermain bola sepak di peringkat sekolah sekali gus memastikan sukan ini dapat diakses serta inklusif buat semua," katanya.
-- BERNAMA
#FAM #FIFA #Kementerian Pendidikan #Unesco