Program BUDI MADANI sumbang kestabilan bekalan makanan negara - Pakar

Bernama
Mei 31, 2024 05:00 MYT
Hafizan berkata, peningkatan produktiviti akan memberi pendapatan lebih baik buat petani, pekebun dan penternak kecil serta membuka ruang kepada mereka untuk melabur semula dalam peralatan atau teknologi baharu. - Foto BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Pelaksanaan Program Bantuan Subsidi MADANI (BUDI MADANI) bakal membawa impak positif dalam sektor pertanian negara dan menyumbang kepada kestabilan bekalan makanan tempatan.

Ringkasan AI
  • 1 Program BUDI MADANI memberikan bantuan tunai bulanan RM200 kepada petani, pekebun, dan penternak kecil untuk mengurangkan kos operasi yang bergantung kepada kenderaan berdiesel.
  • Bantuan ini meningkatkan produktiviti ladang dan daya saing golongan terbabit dalam industri pertanian.
  • Walaupun ada kebimbangan mengenai proses permohonan yang rumit, bantuan ini diharapkan dapat menyumbang kepada kestabilan bekalan makanan tempatan

Dekan Fakulti Biosumber dan Industri Makanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) (Kampus Besut) Prof Dr Hafizan Juahir berpandangan bantuan tunai bulanan RM200 melalui program itu dapat mengurangkan kos operasi petani, pekebun dan penternak kecil yang bergantung kepada kenderaan berdiesel.
"Ini akan meningkatkan keuntungan mereka dan membantu golongan itu untuk beroperasi dengan lebih efisien yang sekali gus meningkatkan produktiviti ladang mereka," katanya kepada Bernama.
Peningkatan produktiviti itu kata beliau akan memberikan pendapatan lebih baik buat golongan terbabit serta membuka ruang kepada mereka untuk melabur semula dalam peralatan atau teknologi baharu.
Beliau yakin situasi itu akan meningkatkan daya saing petani, pekebun dan penternak kecil dalam berhadapan dengan pemain industri yang lebih besar.
"Dengan kos diesel yang lebih rendah petani, pekebun dan penternak dapat menawarkan produk mereka pada harga lebih kompetitif di pasaran. Bantuan ini memberi sokongan kewangan langsung dan menggalakkan mereka untuk terus mengusahakan ladang serta menyumbang kepada kestabilan bekalan makanan tempatan," katanya.
Namun Hafizan menyuarakan kebimbangan akan kelemahan yang mungkin timbul daripada pelaksanaan program ini, antara lain sekiranya proses untuk memohon rumit dan memakan masa sehingga menyebabkan mereka yang layak sukar menerima bantuan itu.
Sementara itu, pengusaha ladang kelapa sawit Abdul Aziz Yusuf, 55, berkata Program BUDI MADANI akan membantu meringankan bebannya yang terpaksa membelanjakan hampir RM300 untuk mengisi minyak diesel bagi kenderaan pacuan empat roda miliknya.
Abdul Aziz berkata selain digunakan untuk mengangkut kelapa sawit yang diusahakannya di atas tanah seluas 12 hektar di Kampung Rahmat di Setiu, beliau turut mengambil upah membawa kelapa sawit diusahakan penduduk lain ke kilang yang terletak kira-kira 10 kilometer dari kampung itu.
"Selain itu saya juga mengambil upah membawa lebih kurang 10 pekerja Felda untuk masuk ke dalam ladang. Jadi memang setiap hari guna Hilux termasuk hari minggu Jumaat dan Sabtu. Dengan adanya bantuan ini akan dapat mengurangkan kos minyak diesel yang saya keluarkan setiap bulan," katanya.
Sementara itu, pengusaha tanaman sistem fertigasi di Kampung Padang Tapong di Besut, Mohd Jefri Abd Rahman, 47, berkata bantuan berkenaan dapat mengurangkan kos operasi pengurusan kebunnya.
Beliau yang sudah enam tahun mengusahakan tanaman timun secara fertigasi berkata agihan terus kepada golongan sasar seperti dirinya ialah langkah terbaik bagi mengelakkan ketirisan dalam pembelian minyak diesel.
"Saya memiliki sebuah Toyota Hilux yang digunakan untuk memasarkan timun di sekitar Besut. Purata kos diesel yang selalu saya gunakan sekarang sekitar RM500 sebulan dan pemberian bantuan ini sangat disyukuri apatah lagi hasil jualan timun tidak menentu.
"Adakala harga begitu rendah sekali gus menyebabkan pendapatan saya kurang sedangkan penggunaan minyak diesel tetap seperti biasa ," katanya.
Penternak ayam di Kampung Temala Tanjung di Marang, Muhammad Nor Syahidin Abu Hassan, 33, berkata bantuan itu amat bermakna baginya dalam menghadapi ketidakstabilan harga ayam di pasaran.
"Seperti kita tahu harga ayam di pasaran sentiasa berubah jadi apabila harga lebih rendah, kami para penternak terpaksa membelanjakan kos operasi yang lebih tinggi. Jadi dengan adanya bantuan ini ia dapat meringankan beban dan memberi harapan kepada kami untuk terus mengusahakan penternakan ayam bagi menjamin bekalan makanan tempatan," katanya.
Muhammad Nor Syahidin berkata beliau menanggung kos sekitar RM500 hingga RM600 setiap bulan untuk mengisi diesel bagi kenderaan pacuan empat roda miliknya yang digunakan bagi kerja-kerja perladangan seperti mengangkut dedak untuk diberikan kepada kira-kira 25,000 ekor ayam daging yang diternaknya.
Kementerian Kewangan menerusi satu kenyataan baru-baru ini memaklumkan pemilik kenderaan diesel persendirian bagi individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi daripada golongan B40 dan M40 di Semenanjung, layak memohon bagi sumbangan tunai kerajaan melalui Program BUDI MADANI, mulai 28 Mei.
-- BERNAMA
#bekalan makanan negara #BUDI MADANI #UniSZA #kos operasi
;