Program biodiesel B20 dilaksanakan sepenuhnya menjelang Jun 2021

Nickyson Nyambar
Februari 20, 2020 14:34 MYT
Datuk Seri Wan Azizah hadir pada pelancaran Program Biodiesel B20 di Dataran Merdeka pada Khamis. -Gambar Astro AWANI
Program Biodiesel B20 akan dilaksanakan sepenuhnya di seluruh negara menjelang pertengahan 2021.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, program itu telah dilaksanakan bermula Januari tahun ini di Langkawi, Labuan dan seterusnya akan diperluaskan ke Sarawak pada April 2020 sebelum ke Semenanjung menjelang Jun tahun hadapan.
Beliau turut menyifatkan usaha ini dapat membantu lebih 650,000 pekebun kecil sawit di seluruh negara serta meningkatkan ekonomi mereka.
“Program Biodiesel Negara juga selari dengan matlamat pembangunan lestari, Sustainable Development Goal (SDG) yang dikemukakan Pertubuhan-pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Program Biodiesel Negara memenuhi matlamat SDG yang ke-7 iaitu menjamin capaian tenaga yang berpatutan dipercayai mampan dan moden kepada semua, yang memberikan pilihan tenaga yang lebih mesra alam,” jelasnya semasa berucap sebelum melancarkan Program Biodiesel B20 di Dataran Merdeka.
Sementara itu Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata langkah ini diambil bagi memastikan Malaysia bergerak seiiring dengan negara luar dalam memanfaatkan sumber tenaga hijau dan penggunaan minyak sawit domestik.
“Pelaksanaan penggunaan biodiesel sawit adalah langkah strategik kerajaan melalui Kementerian Industri Utama bagi memastikan pengukuhan dan kestabilan harga minyak sawit dalam jangka panjang,” katanya.
Dalam masa sama, penggunaan ini juga dilihat banyak menyumbang kepada kemampanan dan dapat mengurangkan penggunaan bahan api berasaskan fosil serta mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (GHG ) yang menyumbang kepada pemanasan global.
Biodiesel B20 adalah merupakan adunan 20 peratus metil ester sawit (PME) dengan lapan puluh peratus diesel petroleum.
Dengan usahasama pelbagai syarikat petroleum, biodiesel B20 akan dibekalkan secara berfasa ke lebih 3,400 buah stesen minyak di seluruh Malaysia mengikut pelan pelaksanaannya.
Kerajaan hari ini melancarkan program tersebut bagi sektor pengangkutan secara berfasa di seluruh negara.
Untuk rekod, sebelum ini kerajaan mewajibkan Program Biodiesel B10 dalam sektor pengangkutan pada 1 Februari tahun lalu dan Program Biodiesel B7 bagi sektor industri pada 1 Julai tahun lalu.
#Astro Awani #Biodiesel B20 #Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail #Kementerian Industri Utama #Program Biodiesel Negara #Teresa Kok #Timbalan Perdana Menteri
;