Program #BerbudiBersama di Ipoh perkenal inisiatif Khazanah, santuni komuniti
Abd Razak Mohd Ali
Ogos 7, 2024 16:34 MYT
Ogos 7, 2024 16:34 MYT
MERAIKAN 30 tahun peranannya memacu pertumbuhan Malaysia yang menyeluruh, Khazanah Nasional melancarkan inisiatif #BerbudiBersama, siri program jangkauan komuniti yang berlangsung di seluruh negara.
Menerusi inisiatif itu, Khazanah bersama-sama entiti gabungannya dan syarikat berkaitan Khazanah (KLC) mahu mempereratkan hubungan dengan masyarakat, menggalakkan kerjasama yang lebih besar dan penciptaan impak untuk Malaysia yang lebih sejahtera.
Selepas siri pertama di Kuala Lumpur, Khazanah menganjurkan program #BerbudiBersama siri kedua di Ipoh, Perak pada 3 Ogos lalu.
Dengan penglibatan rakan penganjur bersama, Yayasan Hasanah (YH), lokasi Masoorat Heritage Park, Ipoh menjadi tumpuan dengan pelbagai acara yang menjurus kepada dua teras utama iaitu pemeliharaan alam sekitar serta pemeliharaan seni, warisan, dan budaya.
Seawal jam 8.30 pagi, orang ramai sudah mula memasuki pekarangan Masoorat Heritage Park bagi melihat secara dekat ruang pameran serta menyertai aktiviti yang disediakan sepanjang program tersebut berlangsung.
Pemilihan Ipoh bagi penganjuran program kali ini disebabkan warisan sejarahnya selain landskap semula jadi yang pelbagai, sekali gus menjadi contoh kekayaan budaya dan alam sekitar Malaysia.
Pengarah Urusan Masoorat Heritage Park, Megat Mohd Shahrin Mohd Hamdan berkata, pemilihan bukit batu kapur itu amat bertepatan dengan tema atau teras utama program kerana Masoorat Heritage Park merupakan salah satu daripada 24 geotapak di Geopark Lembah Kinta.
Menurutnya, di dalam gua batu kapur itu terdapat pelbagai khazanah semula jadi penting, termasuk fosil-fosil yang ditemui seperti seperti gigi orang utan, gigi kijang, gigi harimau, gigi gajah, lukisan prapurba dan sebagainya.
"Yang bagusnya di sini kita meningkatkan kesedaran kelestarian untuk kita menjaga khazanah ini. Sebab itu penganjuran program di bawah Khazanah dan Yayasan Hasanah pada hari ini amatlah bermakna sebab apa yang kami buat di Masoorat ini bersama dengan komuniti yang ada.
"Segala eksplorasi yang kita buat di sini bersama komuniti. Segala yang ada di sini kita kongsikan kepada orang awam supaya untuk beri kesedaran agar bukit batu kapur yang ada merupakan khazanah yang perlu dipelihara," ujarnya.
Beberapa pengunjung yang ditemui mengakui teruja dan gembira dengan penganjuran program berkenaan.
Muhammad Ali Rifqi Muhammad Amirul, 9, dari Tanjung Rambutan antara ribuan pengunjung yang hadir bersama ibu bapa bagi menyertai aktiviti disediakan.
Katanya, penganjuran program itu memberikan pengalaman baharu terutama dalam menjaga kelestarian alam sekitar dan memastikan warisan yang ada seperti Gua Masoorat terus dipelihara.
Nor Fazliza Harun, 37, dari Felda Trolak Selatan pula gembira kerana diberikan peluang bersama-sama rakan-rakan untuk turut serta dalam pelbagai aktiviti yang disediakan di dalam program tersebut.
“Banyak saya pelajari menerusi program ini. Selain kita kenal khazanah apa yang ada di sini, banyak perkara baharu yang selama ini kita tidak pernah tahu pun sebelum ini.
"Kita juga didedahkan dengan pelbagai agensi dan syarikat berkaitan dengan Khazanah selain banyak program-program yang mendapat bantuan daripada Yayasan Hasanah," katanya.
Menurut Batin Kampung Orang Asli Sungai Tonggang, Che Wan Alang, Yayasan Hasanah banyak membantu masyarakat kampungnya, melalui projek eco pelancongan.
“Alhamdulillah saya mengucapkan ribuan terima kasihlah kepada Yayasan Hasanah kerana memberi kepercayaan kepada kami untuk menjalankan projek daripada Yayasan Hasanah.
“Saya rasa yang banyak membantulah komuniti masyarakat kami Orang Asli daripada sebelum ni kami tak nampak apa-apa income daripada kawasan tersebut, alhamdulillah bila Yayasan Hasanah bagi projek ni, kami dapat menjana pendapatan daripada hasil projek tersebut,” katanya.
Melalui reruai pameran yang disediakan pengunjung berpeluang mengetahui inisiatif-insiatif yang dilaksanakan sejajar dengan strategi Memajukan Malaysia oleh Khazanah.
Dalam pada itu, penganjuran #BerbudiBersama turut dimeriahkan lagi dengan penglibatan rakan-rakan strategik seperti Hospital Pantai Ipoh, Farm Fresh, Plus Expressway Berhad, Telekom Malaysia, Tenaga Nasional Berhad, Galeri Khazanah, Qarbotech Sdn Bhd dan Vetomin Malaysia Sdn Bhd.
Siri kedua di Ipoh turut mengenengahkan usahawan yang mendapat manfaat daripada satu lagi inisiatif Khazanah iaitu Portfolio Dana Impak atau Dana Impak yang diperkenalkan untuk meningkatkan daya saing ekonomi serta membina daya tahan negara, sambil menghasilkan manfaat dan impak sosioekonomi kepada rakyat.
Pengarah Urusan Vetomin Malaysia Sdn. Bhd, Siti Sofiah Ramli berkata, dengan dana diperolehi, mereka menggunakannya untuk mengembangkan produk ke pasaran dalam dan luar negara.
“Kami juga mengambil platform di bawah Khanazah ini untuk mengembangkan dari segi branding dan juga access pasaran ke dalam dan luar negara.
“Kami mengeluarkan produk haiwan merab semula jadi bagi haiwan dan di sini kami menjalankan program mengajar apa itu bagaimana untuk mengenal pasi saiz haiwan, saiz ayam terutamanya dan juga apakah impak sekiranya menggunakan produk semula jadi ataupun tidak,” jelasnya.
Pengasas Bersama @ Ketua Pegawai Eksekutif Qarbotech Sdn. Bhd, Chor Chee Hoe pula berkata, mereka menghasilkan produk penggalak fotosintisis untuk menolong petani kecil-kecilan untuk menambah baik hasil mereka.
“Produk kami adalah penggalak fotosintisis yang meningkatkan kadar penyerapan cahaya. Selepas disembur dengan produk ini, pokok dapat menyerap lagi banyak cahaya, bagi menjalankan proses fotosintisis yang lagi berkesan, sekaligus dapat menambahkan hasil tanaman,” katanya.
Dengan kira-kira 30 reruai yang terdapat, di samping pelbagai aktiviti sampingan serta ceramah, #BerbudiBersama berjaya menggamit pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki berkata, besar harapan pihaknya untuk memastikan #BerbudiBersama memberi manfaat yang besar kepada masyarakat termasuklah semua rakan kerjasama dari seluruh Malaysia terutama yang berada di Perak.
"Kita juga mengharapkan pengunjung dapat menikmati dan menjadi lebih peka terhadap pelbagai usaha kita dalam bidang alam sekitar, seni, penjagaan haiwan dan pokok.
"Kita juga mahu memastikan masyarakat berbilang kaum, pelbagai peringkat usia dari tua hingga muda anak-anak kita dapat melihat bagaimana kerja kita menjana impak untuk Memajukan Malaysia.
"Ini juga sesuatu yang menjadi tanggungjawab kepada generasi muda pada hari ini kerana mereka akan mengambil alih peranan ini pada masa akan datang," katanya.
Selepas Ipoh, Khazanah akan mengadakan siri ketiga #BerbudiBersama di Johor yang bertempat di Mall of Medini, Iskandar Puteri pada 24 Ogos 2024.
Orang ramai boleh mengikuti laman sosial rasmi Khazanah untuk mendapatkan maklumat lanjut.