Program bebas kereta, MBJB terus program 'JB Car Free Morning'

Bernama
November 7, 2023 17:14 MYT
MBJB komited dalam usahanya memperkasa bandar raya hijau, mapan dan rendah karbon dengan meneruskan program JB Car Free Morning. - Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) komited dalam usahanya memperkasa bandar raya hijau, mapan dan rendah karbon dengan meneruskan program JB Car Free Morning atau pagi bebas kereta selama dua jam pada setiap Sabtu minggu kedua.
Datuk Bandar Datuk Mohd Norazam Osman berkata program yang sebelum ini dikenali sebagai JB Car Free Day itu akan diadakan di pejabat MBJB, Jalan Dato' Onn, di sini bermula 7 pagi.
Beliau berkata pihaknya turut mengorak langkah ke arah kerjasama strategik penganjuran program berkenaan bersama-sama pihak OCBC Bank (Malaysia) Bhd (OCBC Bank) yang akan bermula pada Januari 2024.
"Kerjasama dengan rakan strategik seperti OCBC Bank ini bakal meletakkan program ini pada tahap yang lebih baik dari segi penganjuran, penyertaan orang awam, publisiti yang meluas serta prospek kerjasama dan penyertaan peserta peringkat antarabangsa khususnya dari negara jiran.
"Ini amat penting bagi menyuntik lebih banyak pengisian program sampingan dan mengangkat JB Car Free Morning sebagai satu platform kerjasama pihak berkuasa tempatan dengan agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam selain penyertaan tanpa mengira lapisan umur, kaum dan sosio ekonomi masyarakat, " katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Norazam berkata pihak OCBC Bank akan menaja 2,000 beg tali cerut edisi terhad secara percuma kepada peserta JB Car Free Morning bersempena Minggu Iklim Asia Pasifik (APCW) 2023 minggu ini, sebagai tanda permulaan kerjasama strategik dalam meningkatkan agenda hijau dan rendah karbon.
"Pemberian beg ini bertujuan mengalakkan penggunaan beg kitar semula yang akan dilaksanakan sejurus selepas pelepasan peserta di hadapan Pejabat OCBC Bank, Jalan Ibrahim di sini.
"Kita juga turut menganjurkan APCW Fun Run 2023 bagi memeriahkan lagi serta menguar-uarkan acara induk APCW yang akan berlangsung pada 13 hingga 17 Nov ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor," katanya.
-- BERNAMA
#Johor Bahru #bebas kereta #MBJB #JB Car Free Morning
;