Program basmi kemiskinan di 50 lokaliti, bermula awal 2022 - PM
Harits Asyraf Hasnan
Disember 6, 2021 18:36 MYT
Disember 6, 2021 18:36 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, fasa satu program pembasmian kemiskinan secara holitistik akan dilaksanakan di 50 lokaliti bermula awal tahun 2022.
Menurut beliau, pemilihan lokaliti program akan diberi tumpuan kepada negeri-negeri dengan kadar kemiskinan tegar tertinggi.
"Program ini adalah berdasarkan pendekatan keseluruhan negara. Ia melibatkan pelaksanaan secara terancang yang merangkumi sektor awam, swasta, akademia serta pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan organisasi berasaskan komuniti (CBO).
"Program ini akan dilaksanakan secara bersasar berdasarkan keperluan lokaliti dan mengambil kira pelbagai dimensi termasuklah aspek pendapatan, pendidikan dan kemahiran serta kesihatan.
"Program ini akan dilaksanakan di bandar dan luar bandar tanpa mengira etnik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) kali pertama yang dipengerusikan Ismail Sabri hari ini.
Jelas beliau, projek tersebut akan diterajui bersama oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.
Mengulas lanjut, beliau berkata mesyuarat bagi membincangkan agenda membasmi kemiskinan tegar tersebut akan diadakan dengan kerap bagi memastikan pelaksanaan program membasmi kemiskinan tegar berjalan dengan lebih berkesan.
Menurut Perdana Menteri, mesyuarat tersebut turut menerima dan bersetuju kerangka tadbir urus pemantauan RMK-12.
Ujar beliau, kerajaan memandang serius usaha-usaha untuk memastikan pelaksanaan projek dan juga program tersebut dapat memberi manfaat kepada rakyat.
"Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMKe-12 yang dipengerusikan oleh saya dan disokong oleh Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kerja akan bermesyuarat sebanyak empat kali setahun bagi memantau pelaksanaan sembilan fokus utama dan sembilan pemacu terpilih rancangan Malaysia lima tahun ini.
"Bagi tujuan itu, Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMKe-12 akan memantau secara khusus 20 perkara utama antaranya prestasi pelaksanaan projek dan perbelanjaan pembangunan; membasmi kemiskinan tegar; menambah baik ekosistem TVET dan transformasi perkhidmatan awam," katanya.