Program bantu gelandangan bina kemahiran pekerjaan - Rina

Astro Awani
Julai 9, 2019 07:04 MYT
Program tersebut bertujuan untuk memberikan mereka kemahiran sehingga mampu mendapatkan peluang pekerjaan. - Gambar hiasan
Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan menjalin kerjasama dengan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dalam usaha membekalkan kemahiran pekerjaan kepada golongan gelandangan.
Menurut menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun, saringan akan dilakukan kepada gelandangan di sekitar ibu negara dengan sekurang-kurangnya mereka perlu memenuhi syarat kelayakan asas iaitu boleh membaca dan menulis.
Jelasnya lagi, pihaknya akan mengarahkan GIATMARA dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menyediakan program kemahiran selama enam bulan untuk gelandangan terpilih.
“Program kemahiran ini akan dijalankan selama enam bulan dan kami mahu golongan ini mendapatkan sijil.
“Program tersebut bertujuan untuk memberikan mereka kemahiran sehingga mampu mendapatkan peluang pekerjaan,” katanya ketika menyertai program Cakna Integriti Bersama Gelandangan di Pusat Transit Gelandangan, Jalan Pahang di ibu negara pada Selasa.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim.
Rina menjelaskan pihaknya berharap peserta dapat menguasai kemahiran yang ditawarkan untuk dimanfaatkan dalam kehidupan termasuk mengisi peluang pekerjaan dan seterusnya menjadi usahawan satu hari nanti.
#gelandangan #GIATMARA #kemahiran #Kemas #Kementerian Pembangunan Luar Bandar #Rina Mohd Harun #sijil #Yayasan Kebajikan Negara
;