Program Baiti Jannati sediakan rumah baharu untuk ibu tunggal berteduh
Bernama
Januari 14, 2022 17:53 MYT
Januari 14, 2022 17:53 MYT
IPOH: Kegembiraan jelas terpancar pada raut wajah ibu tunggal dan tiga anaknya selepas mendapat rumah baharu hasil program Baiti Jannati anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Penerima sumbangan, Norismah Ismail, 49, berkata sebelum ini mereka tinggal di rumah pusaka usang yang hampir roboh dan dimamah anai-anai di Kampung Tersusun, Sungai Terap, Batu Gajah sejak 50 tahun lepas.
"Rumah kami yang lama sudah tidak selamat untuk diduduki lagi disebabkan anai-anai dan ia kelihatan seperti mahu roboh. Ketika rumah ini diumumkan siap, kami terus pindah masuk ke rumah ini sejak tiga minggu lepas," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan rasmi rumah tersebut yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Baharin Din.
Rumah baharu itu dibina berdekatan dengan rumah lama keluarga itu menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TNB yang bertujuan memberikan rumah kediaman yang lebih selesa kepada fakir miskin, ibu tunggal dan golongan asnaf.
Norismah juga berkongsi kenangan ketika arwah suaminya Norazam Abdul Rahman yang meninggal dunia pada usia 49 tahun Oktober lepas akibat strok, amat teruja untuk berpindah ke rumah baharu namun hasratnya tidak kesampaian.
"Ketika rumah ini dalam pembinaan, arwah tidak sabar untuk berpindah ke rumah baharu dan sudah bercadang ingin menghias ruang tamu rumah bersama anak-anak, Norfatihah,19, Noralif,16, dan Norannisa,12.
Selama enam tahun menanggung kesakitan, suami saya pergi. Keluarga kami terpaksa mengharapkan bantuan kerana saya tidak dapat bekerja ketika itu dan perlu menjaga keperluan suami," tambahnya sebak.
Dalam pada itu Baharin berkata sebanyak 128 buah rumah telah dibina di Perak di bawah program itu dengan peruntukan kira-kira RM5.7 juta tahun lepas bagi membantu golongan kurang bernasib baik.
"Pada peringkat nasional, sebanyak 879 buah rumah telah dibina dengan anggaran peruntukan kira-kira RM40 juta sejak 2017. Projek CSR tetap berlangsung pada tahun 2019 dan 2020 dengan peruntukan sekitar RM8 juta walaupun harus menempuhi pelbagai cabaran ketika wabak (COVID-19) melanda negara," katanya.
-- BERNAMA