Program Azam Kerja 1Malaysia bantu golongan miskin bandar bermula April

Bernama
Februari 5, 2014 07:49 MYT
Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem. -Gambar fail.
Program Baucar Kerja Azam Kerja 1Malaysia, program perintis Kementerian Sumber Manusia bagi membantu golongan miskin bandar yang telah berdaftar dengan E-kasih, akan bermula April depan.
Menteri berkenaan, Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem berkata program itu akan dijalankan selama setahun dan hanya akan melibatkan seramai 100 orang peserta yang dikenal pasti sebagai golongan miskin bandar dari empat ibu negeri selain ibu negara, Kuala Lumpur.
"Empat negeri yang terbabit dalam program perintis ini ialah Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Johor.
"Peserta progam ini harus berdaftar dengan E-kasih dan mempunyai pekerjaan," katanya pada sidang media di sini pada Rabu.
Katanya, sistem E-kasih adalah usaha kerajaan dalam membasmi kemiskinan di seluruh negara.
Jabatan Perdana Menteri (JPM), mempunyai senarai nama dan butiran lengkap setiap peserta E-kasih dalam memastikan mereka merupakan golongan miskin yang sahih berdasarkan data lengkap pendapatan isi rumah mereka.
Riot berkata peserta yang layak dalam program berkenaan akan menerima bantuan elaun sebanyak RM35 sehari untuk tempoh setahun sahaja dan mereka harus bekerja sekurang-kurangnya 142 hari dalam tempoh setahun.
"Antara peserta E-kasih ini ialah golongan bekas banduan, Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas, ibu tunggal dan gelandangan yang bekerja dengan syarikat terpilih," katanya.
Kementerian mendapat kerjasama dari beberapa syarikat dalam menjayakan program itu, antaranya ialah QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd yang akan menawarkan peserta untuk bekerja di KFC, Pizza Hut dan Rasamas, katanya.
Riot berkata program itu dapat mengurangkan beban golongan miskin bandar yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan golongan yang memerlukan wang tambahan bagi menampung kos sara hidup harian mereka.
#Richard Riot Anak Jaem #rogram Baucar Kerja Azam Kerja 1Malaysia
;