Program 'Australia Now Malaysia' raikan hubungan kukuh dua negara
Bernama
Januari 18, 2022 17:59 MYT
Januari 18, 2022 17:59 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia memulakan tahun baharu dengan meraikan hubungan yang pelbagai dan kukuh antara Australia dan Malaysia melalui acara 'Lights Up' yang penuh gemilang.
Acara dari 20 hingga 30 Januari akan menyaksikan bangunan Suruhanjaya Tinggi di Jalan Yap Kwan Seng di sini, diterangi persembahan seni cahaya dari 7.30 malam hingga 11.30 malam setiap hari dengan pameran karya seni digital termasuk imej ikonik Australia sebagai penghormatan dan meraikan Orang Asli Australia.
Bakal ditampilkan juga adalah reka bentuk yang dicipta oleh peserta Malaysia dan antarabangsa dalam pertandingan Isle of Design Projection Mapping, serta karya seni asli oleh pelajar sekolah rendah dari Sekolah Antarabangsa Australia di Malaysia.
Seni persembahan cahaya itu dihasilkan melalui kerjasama antara Mosster Studio di Australia dan Filamen di Malaysia. Pengunjung boleh merakam gambar seni cahaya dan menggunakan hashtag #LightsUpMY semasa kunjungan mereka. 'Lights Up' merupakan tarikan utama program Australia now Malaysia itu.
Timbalan Ketua Misi Australia ke Malaysia Hannah Birdsey berkata, Suruhanjaya Tinggi juga akan mengadakan beberapa siri acara bersempena dengan Australia now Malaysia yang berlangsung hingga pertengahan 2022.
Australia now adalah program diplomasi utama kerajaan Australia, yang mempamerkan inovasi, kepelbagaian dan kecemerlangan kreatif terbaik Australia. Dianjurkankan setiap tahun, program ini bertujuan memperkukuh dan memperdalam hubungan dua hala serta membina persefahaman melangkaui landskap dan gaya hidup.
Australia now Malaysia yang dilancarkan secara digital pada Oktober 2021, bertujuan menggalakkan hubungan ekonomi, saintifik, pendidikan dan budaya antara kedua-dua negara.
"Bagi program di Malaysia, kami berjaya mengatasi beberapa cabaran penjadualan kerana COVID-19. Ia waktu yang tepat kerana pada awal tahun 2021, Australia dan Malaysia menandatangani perjanjian Perkongsian Strategik Komprehensif.
"Jadi tahun ini, kami akan meraikan ulang tahun pertama pemeteraian itu, acara Lights Up bertepatan dengan ulang tahun pertama untuk menunjukkan kekuatan, kepelbagaian dan meluasnya hubungan dengan Malaysia," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.
Selain persembahan cahaya karya seni digital, Birdsey berkata satu lagi acara menarik yang dirancang untuk program Australia now Malaysia adalah pameran seni digital Orang Asli Australia dengan kerjasama Galeri Seni Negara pada Mac.
"Kami sangat menantikannya. Ia dipanggil Walking Through a Songline. Orang ramai sebenarnya boleh berjalan sambil menelusuri karya seni yang ditayangkan. Ia pengalaman yang mengkagumkan," katanya.
Beliau menambah bahawa acara lain yang dirancang termasuk forum dasar mengenai kesihatan mental, penglibatan dengan pemimpin muda dan usahawan, dan dokumentari sains yang bekerjasama dengan Agensi Angkasa Malaysia dan Geosains Australia.
"Jadi ia adalah program yang sangat pelbagai. Merangkumi sentuhan seni dan budaya. Ia turut menampilkan beberapa kerjasama sains dan teknologi yang berlaku antara Malaysia dan Australia yang menunjukkan kepelbagaian hubungan dua hala antara Australia dan Malaysia," tambahnya.
-- BERNAMA