Program Antigangguan Seksual tingkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat
Bernama
Julai 6, 2023 23:36 MYT
Julai 6, 2023 23:36 MYT
KEPALA BATAS: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menganjurkan Program Jerayawara Kasih KPWKM @Advokasi Antigangguan Seksual sebagai salah satu usaha dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu gangguan seksual yang perlu ditangani dengan serius.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata langkah ini bertujuan untuk memberikan pendedahan, menyampaikan maklumat berkenaan bantuan dan perkhidmatan psikososial KPWKM serta menyebarluaskan pemakaian garis panduan dan notis antigangguan seksual kepada masyarakat.
Beliau berkata majoriti kes gangguan seksual yang dilaporkan melibatkan mangsa wanita berbanding lelaki dan isu ini harus ditangani dengan bersungguh-sungguh kerana ia boleh mendorong jenayah seksual yang lebih serius dan kesannya terhadap mangsa adalah negatif termasuk trauma dan ketakutan yang berpanjangan.
"Di samping itu, pelaksanaan Program Jerayawara Kasih KPWKM @ Advokasi Antigangguan Seksual ini juga adalah selaras dengan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 yang telah berkuatkuasa pada 1 Jan, 2023 yang turut mewajibkan majikan untuk mempamerkan notis mengenai gangguan seksual di tempat kerja.
KPWKM telah membangunkan notis antigangguan seksual yang boleh dimuat turun melalui Kod QR (respon pantas) dan laman sesawang Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) untuk dipaparkan di setiap organisasi termasuk premis awam dan swasta," katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas merasmikan Program Jerayawara Kasih KPWKM @Advokasi Antigangguan Seksual.
Program itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu serta Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Chong Eng.
"Selain itu, KPWKM telah menggubal Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840), sebagai suatu akta khusus untuk membantu mangsa tampil melaporkan kejadian gangguan seksual supaya tindakan dapat diambil dengan sewajarnya serta remedi dapat diberikan kepada mangsa.
Saya berharap dengan kebersamaan agensi kerajaan, sektor korporat, badan bukan kerajaan (NGO) serta seluruh masyarakat untuk bekerjasama agar kes gangguan seksual akan dapat dibendung dan sekali gus menyediakan persekitaran yang selamat kepada bukan sahaja wanita malahan lelaki jua termasuk kanak-kanak dan setiap lapisan masyarakat," katanya.
Sementara itu, apabila diminta pandangan mengenai kejadian seorang remaja 14 tahun yang disyaki mencekik adiknya yang berusia 9 tahun hingga mati di Melaka semalam, beliau berkata, pihaknya bersedia untuk menawarkan perkhidmatan kaunseling kepada keluarga yang terkesan itu.
"Kita memang ada kaunselor yang bertauliah jika mereka memerlukan... terpulang kepada mereka...kita tidak dapat terus pergi ke rumah orang untuk memberi perkhidmatan kaunseling...terpulang kepada diri sendiri. Kita tawarkan perkhidmatan kaunseling...jadi telefon kepada talian Kasih 15999," katanya.
--BERNAMA