Program Angkasawan Malaysia Kedua akan diteruskan - Ewon Ebin

Bernama
Disember 12, 2013 19:32 MYT
Gambar fail angkasawan pertama negara Dr Sheikh Muszaphar Shukor bersedia untuk berlepas dengan kapal angkasa SOYUZ TMA 11 dari Stesen Angkasa Antarabangsa Baikonur Cosmodrome di Kazakshtan. -- fotoBE
Program misi menghantar angkasawan kedua ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) untuk melakukan penyelidikan saintifik akan diteruskan dan tarikhnya akan diumumkan pada masa yang sesuai kelak.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ewon Ebin berkata misi angkasa lepas kedua itu mendapat kerjasama Rusia, Jepun dan beberapa negara lain.
"Kerajaan tidak tergesa-gesa untuk melaksanakan misi angkasa lepas kedua ini, buat masa ini, kementerian menerusi agensinya akan menganjurkan program-program kesedaran mengenai tujuan sebenar misi menghantar angkasawan kedua ke ISS dan implikasinya dari segi pembangunan sains dan teknologi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Pameran Angkasawan bertema 'Memacu Aspirasi' selama sehari anjuran MOSTI dan Yayasan Angkasawan Malaysia di Pusat Maritim di sini Khamis.
Turut hadir Timbalannya Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah dan Angkasawan kedua Negara, Mejar Dr Faiz Khaleed.
"Kementerian kini sedang merangka perincian-perinciannya menerusi perjumpaan, perbincangan dan perundingan bersama para saintis, ahli akademik, anggota politik, orang awam dan mereka yang berkaitan dalam menentukan apakah jenis penyelidikan yang sesuai dilakukan dalam misi angkasawan negara kedua ini nanti.
"Apa yang penting ialah perancangan yang rapi dan menentukan pengisian programnya demi memastikan ia membawa hasil kepada negara kerana orang ramai akan bertanya mengenai apakah hasil yang diperoleh dalam program angkasawan ini setelah membelanjakan wang yang banyak," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata program pameran ini dapat memberi kesedaran mengenai kepentingan melakukan penyelidikan di angkasa lepas dan pada masa yang sama Ewon menyeru pihak swasta memberi sokongan dan sumbangan dalam program angkasawan negara itu kerana ia dapat memberi sumbangan menerusi hasil penyelidikan saintifik.
#angkaasawan #MOSTI #Program Angkasawan Kedua
;