Program 5MY bantu golongan B40 di Wilayah Persekutuan - PM
Irwan Muhammad Zain
Januari 31, 2021 21:52 MYT
Januari 31, 2021 21:52 MYT
PUTRAJAYA: Penduduk dari kumpulan B40 di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan menerima 5,750 kampit beras secara percuma setiap minggu.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan sumbangan beras itu disampaikan melalui Program MyBeras@Wilayah yang dilaksanakan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan dan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan.
Muhyiddin menjelaskan, program MyBeras@Wilayah ini merupakan inisiatif-inisiatif murni Kementerian Wilayah Persekutuan kepada penduduk yang kurang berkemampuan.
"Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan dan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan melalui Program MyBeras@Wilayah akan mula menyumbangkan 5,750 kampit beras secara percuma setiap minggu kepada penduduk dari kumpulan keluarga B40 di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bermula pada hari ini.
"Walau bagaimanapun, saya ingin mengingatkan dalam proses pengagihan, jangan lupa perlu kekal mematuhi SOP tertentu yang ditetapkan demi menjaga diri kita dari dijangkiti COVID-19," katanya dalam perutusan sempena sambutan Wilayah Persekutuan 2021 yang disiarkan di stesen televisyen utama malam ini.
Perdana Menteri dalam perutusan itu turut melancarkan Program 5MY Wilayah Persekutuan secara maya.
Muhyiddin berkata kementerian itu juga bersikap proaktif dalam melengkapkan inisiatif kerajaan dengan melaksanakan program jaringan keselamatan sosial dan secara tidak langsung turut menyediakan inisiatif yang memanfaatkan rakyat khususnya di Wilayah Persekutuan.
"Saya dimaklumkan pada tahun 2020 sahaja, lebih 35,000 orang dan ketua isi rumah serta 331 perumahan kos rendah di Kuala Lumpur telah menerima bantuan langsung melalui Program 5MY. Hal ini konsisten dengan penegasan kepada rakan-rakan menteri Kabinet supaya segala inisiatif kebajikan rakyat mestilah dilaksanakan dengan segera," katanya.
Beliau berkata program MYJobs@Wilayah telah menyediakan sehingga 3,259 pekerjaan di ibu kota iaitu 28 peratus lebih tinggi daripada sasaran asal dan inisiatif pengambilan pekerjaan itu adalah meliputi pelbagai sektor dan industri.
Bagi inisiatif MYSchoolBus@Wilayah pula, katanya, ia telah memberi bantuan kepada seramai 9,704 murid di 67 kawasan perumahan awam kos rendah yang melibatkan 94 pengendali bas sekolah.
"MYMedic@Wilayah pula adalah perkhidmatan klinik bergerak yang menyediakan perkhidmatan rawatan kesihatan asas secara percuma kepada warga kota yang kurang berkemampuan di kawasan perumahan kos rendah di Kuala Lumpur," ujarnya.
Muhyiddin berkata MYGrocer@Wilayah pula adalah inisiatif yang berkonsepkan pasar bergerak ke kawasan perumahan kos rendah melalui penjualan barang basah dan keperluan harian pada harga lima hingga 20 peratus lebih murah daripada harga di pasar awam.
"Sehingga kini, trak MYGrocer telah bergerak ke 30 lokasi Perumahan Awam dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur. MYFood@Wilayah pula adalah konsep bantuan bakul makanan yang berisi keperluan harian kepada golongan miskin bandar dan kini telah memanfaatkan seramai 32,000 ketua isi rumah di Kuala Lumpur," jelasnya.
Muhyiddin berkata, bagi menambah inisiatif murni ini, Kementerian Wilayah Persekutuan akan melipatgandakan usaha meneliti semula sasaran penerima bantuan bagi mengelakkan individu yang layak tidak tercicir tanpa mengabaikan penerima dalam kalangan penghuni PPR dan Perumahan Awam.
Katanya lagi, sempena bulan sambutan Hari Wilayah Persekutuan ini, pelbagai aktiviti menggunakan platform maya telah dirancang, antaranya, 'River of Life Virtual Run' sempena 'KL Pagi Bebas Kenderaan' sebagai usaha membina institusi masyarakat yang informatif dan mengamalkan gaya hidup sihat.
Muhyiddin berkata kerajaan juga akan meneruskan usaha meringankan beban kos sara hidup rakyat dan menyediakan program perlindungan sosial yang komprehensif untuk memastikan golongan rentan dan berpendapatan rendah tidak tertinggal daripada arus pembangunan negara.
"Ini membuktikan melalui Belanjawan 2021 yang telah memberikan tumpuan khusus kepada inisiatif-insiatif membantu rakyat yang terjejas dengan pandemik COVID-19.
"Kerajaan Perikatan Nasional akan terus komited untuk melaksanakan visi Malaysia sebagai negara yang mampan, adil, saksama dan inklusif, sekali gus meningkatkan kemakmuran negara serta memastikan raktyat bersatu padu," tambahnya.
Hari Wilayah Persekutuan disambut setiap tahun pada 1 Februari. Wilayah Persekutuan merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
#Muhyiddin Yassin
#Perdana Menteri
#perutusan
#Hari Wilayah Persekutuan
#MyBeras
#5MY
#Kuala Lumpur
#Putrajaya
#Labuan
#Kementerian Wilayah Persekutuan