Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia dilaksana dengan SOP ketat - MKN
Fareez Azman
Disember 7, 2021 19:23 MYT
Disember 7, 2021 19:23 MYT
PUTRAJAYA: Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula Khamis depan akan dilaksanakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad, berkata ia bagi mengelakkan sebarang risiko penularan COVID-19 sepanjang program empat hari itu berlangsung.
"Kita ingin pastikan program ini tidak datangkan risiko jangkitan COVID-19. Kehadiran pada majlis perasmian ini juga tidak melebihi 300 individu berbanding kapasiti asal dewan yang mampu memuatkan 2,000 orang.
"Ini setelah kita mengambil kira penjarakan fizikal dan susunan kerusi di lokasi majlis berlangsung,” katanya dalam sidang media sempena 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia di Putrajaya pada Selasa.
Ujarnya, program anjuran Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu akan menampilkan galeri pencapaian kementerian, program bantuan, pameran kementerian dan agensi selain persembahan kebudayaan dan jualan usahawan.
Tambahnya, bilangan pengunjung juga dihadkan daripada 20,000 orang kepada 10,350 orang sahaja bagi memastikan wujud penjarakan fizikal sepanjang program berlangsung.
Program berkenaan akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis ini dengan kehadiran dihadkan kepada 272 individu bersama 11 orang kenamaan utama sahaja.
Mengulas lanjut, tambah Rodzi, hanya pengunjung lengkap vaksinasi COVID-19, kanak-kanak bawah 12 tahun dibenarkan masuk dengan syarat bersama ibu bapa yang telah lengkap vaksinasi.
"Bagi memastikan keselamatan setiap pengunjung, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan melakukan sanitasi setiap hari,manakala makanan secara 'pack food' dibenarkan dijual di sepanjang program terbabit.
"Sekiranya ada kes positif COVID-19 di lokasi majlis, tindakan sanitasi akan segera dilaksanakan dan MKN kemudian akan merujuk pakar kesihatan untuk tindakan susulan," katanya lagi.
Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia bermula jam 9.00 pagi hingga 10.00 malam.
Antara tarikan lain pada program itu, Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia serta diskaun saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Konsep Keluarga Malaysia diperkenalkan Ismail Sabri pada Ogos lalu selepas dilantik memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia Kesembilan.