Profil Malaysia semakin meningkat di mata dunia - PM Anwar
Firdaus Azil
Mei 1, 2024 21:27 MYT
Mei 1, 2024 21:27 MYT
PUTRAJAYA: Bukan ingin mendabik dada atau bersikap sombong, tetapi Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat profil Malaysia kembali meningkat dan dihormati di mata dunia.
Dalam Program Soal Jawab bersama Perdana Menteri di Putrajaya pada Rabu, Anwar berkata, beliau telah diberi peranan penting dalam beberapa majlis tertentu sewaktu lawatan beliau ke Riyadh, Arab Saudi baru-baru ini.
Beliau berkata, ia secara tidak langsung menjawab kritikan dan tohmahan pihak-pihak tertentu yang melihat lawatan rasmi beliau ke luar negara hanya bertujuan untuk ‘makan angin’, tanpa membawa hasil yang membanggakan.
“Saya bukan nak sombong, tetapi saya lihat mereka telah meletakkan peranan kita seperti menyampaikan ucap utamanya di majlis Bank Pembangunan Islam (IsDB), dan Forum Ekonomi Sedunia (WEF), kemudian semasa sesi private lunch, meminta saya merumuskan semua hujah Perdana Menteri dan Presiden yang hadir. Jadi penghormatan kepada Malaysia sangat tinggi.
“Kita (pergi) jalankan kerja. Cuma saya kadang-kadang aneh, iyalah pembangkang, tapi takkanlah saya pergi berjalan. Umpama sampai (di sana) malam, daripada pagi sampai malam, tak pernah saya melawat pergi ke kedaikah, atau nak pergi hiburan, tak ada. Tetapi yang penting negara bermanfaat dan akhirnya rakyat akan memperoleh manfaat tinggi Insya-Allah,” katanya.
Anwar yang hadir di Riyadh selama tiga hari atas jemputan peribadi Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Bin Salman, turut menyampaikan ucaptama di Dialog Strategi Serantau Bersama mengenai ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Media sebelum ini melaporkan dialog tersebut diadakan khusus untuk mengenengahkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025
Selain itu, Anwar juga telah menghadiri program Dialog Strategi Negara dan melakukan berinteraksi dengan pemimpin industri dunia bagi mengetengahkan peluang ekonomi yang boleh dimanfaatkan di Malaysia.
Sementara itu dalam program soal jawab tersebut, Anwar berkata, selain usaha menarik pelaburan, kesempatan yang ada di platform dunia seperti lawatan di Riyadh itu digunakan sebaik-baiknya untuk memperjuangkan isu kemanusiaan, khususnya penindasan Israel terhadap Palestin.
“Jadi setakat itu saya cuba suarakan sebaiknya, beri penekanan sekeras mungkin, seperti saya sebut dalam ucapan tadi, saya terpaksa bukan kerana nak tunjuk kekuatan kita, kita faham kita Malaysia dan kita negara yang agak sederhana bukan negara besar.
“Tetapi tak ada pilihan. (Sebelum ini) saya berdepan dengan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden nyatakan (pendirian), depan PM Australia (Anthony Albanese), depan Canselor Jerman (Olaf Scholz), itu semua kekuatan besar.
“Saya terpaksa berikan apa hujah yang mungkin sampai, tapi itu yang saya mampu lakukan. Jadi kita mampu mendoakan, di samping itu mengiirim bantuan, yang sakit parah di Palestin, yang memerlukan rawatan kita bantu apa yang mungkin,” jelasnya.