Profesor pemasaran UUM, Norazah tersenarai 2 peratus saintis terbaik dunia

Adie Sufian Zulkefli
Jun 21, 2022 13:27 MYT
Norazah berkata, beliau berharap pengiktirafan itu akan menjadi inspirasi kepada semua pensyarah sekali gus membuktikan bahawa tiada yang mustahil jika terus bekerja keras. - Foto UUM
SINTOK: Profesor Pemasaran dan E-Niaga di Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Norazah Mohd Suki tersenarai dalam ‘World's Top 2% Scientists’ oleh Stanford University, Amerika Syarikat.
'World's Top 2% Scientists' mengiktiraf mereka yang berjaya menghasilkan banyak sitasi dalam pelbagai disiplin.
Norazah yang telah diiktiraf sebanyak tiga kali dalam senarai Stanford ini disenaraikan mengikut bidang perniagaan dan pengurusan dan sub-bidang pemasaran, selain mendapat pengiktirafan di bawah senarai 'Career-long World’s Top 2% Scientists'.
Kedua-dua pengiktirafan tersebut telah meletakkan UUM pada peta global kecemerlangan penyelidikan saintifik yang membawa kebanggaan kepada universiti dan negara.
“Alhamdulillah, saya amat bersyukur apabila diiktiraf sebagai salah seorang daripada 'World's Top 2% Scientists 2021' dari universiti yang berprestij dan apa yang saya lakukan demi mengharumkan nama UUM di persada dunia.
“Sejujurnya saya cukup berbesar hati untuk berada dalam senarai Stanford ini sebagai pengiktirafan terhadap kerja penyelidikan saya dalam bidang pemasaran dan e-dagang. Saya berharap kejayaan ini akan membawa lebih banyak peluang kerjasama dan rangkaian antarabangsa,” katanya.
Norazah berkata, beliau berharap pengiktirafan itu akan menjadi inspirasi kepada semua pensyarah sekali gus membuktikan bahawa tiada yang mustahil jika terus bekerja keras dan dalam menerbitkan jurnal berimpak tinggi.
Senarai itu yang disusun oleh Prof. John Ioannidis dan pasukan Stanford University termasuk data piawai mengenai ‘citations, h-index, co-authorship-adjusted hm-index, citations to papers in various authorship positions’, dan ‘a composite indicator’ lebih 160,000 saintis dikelaskan dalam 22 bidang saintifik dan 176 sub-bidang.
Terkini, Norazah telah menerbitkan lebih 300 kertas kerja dengan SCOPUS h-indeks sebanyak 28.
Sementara itu, Naib Canselor, Prof Haim Hilman Abdullah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas kejayaan membawa nama UUM ke pentas dunia serta menjadi sumber inspirasi kepada ahli akademik yang lain.
“Saya berharap pencapaian ini dapat menjadi inspirasi kepada pensyarah dan menunjukkan tiada yang mustahil jika kita terus berusaha dan menerbitkan secara berterusan dalam jurnal yang bagus.
“Saya bangga dan gembira dengan pencapaian ini. Pengiktirafan di peringkat global itu juga memberi peluang kepada universiti untuk meningkatkan keterlihatan UUM di peringkat antarabangsa,”katanya.
#saintis terbaik dunia #UUM #Norazah Mohd Suki #Stanford University
;