Profesional waktu pagi, jual tubuh waktu malam
Khairul Wasiril Aswad
April 18, 2013 12:28 MYT
April 18, 2013 12:28 MYT
Biarpun sebilangan golongon pondan sudah pun bekerjaya dan mempunyai pendapatan dalam lingkungan RM2500 hingga RM8000 sebulan, ada juga diantara mereka memilih untuk melacurkan diri pada waktu malam.
Menurut seorang pemilik kedai pendandan rambut, Amy (bukan nama sebenar), 33, naluri wanita yang ada dalam dirinya menyebabkan dia sering kembali ke jalanan memperagakan diri di tepian lorong.
“Akak buat kerja malam tu bukan kerana saya perlukan duit sangat, cumanya sekali sekala saya rasa rindu melakukan aktiviti itu bersama kawan-kawan,” kata Amy kepada wartawan Astro Awani ketika didekati.
Amy yang mempunyai impian untuk menjadi seorang wanita sejati sejak berusia 13 tahun mendakwa telah membelanjakan puluhan ribu ringgit demi keinginannya itu.
“Sudah lebih RM60,000 saya belanjakan sepanjang 7 tahun bagi mencapai impian saya menjadi wanita yang saya idamkan selama ini.
“Sejak kecil saya dilayan oleh ibu bapa seperti anak perempuan, mungkin sebab itu saya jadi begini mahupun tahu sebenarnya ia bertentangan dengan ajaran agama,” katanya dengan nada yang sayu.
Pemegang ijazah sarjana muda jurusan komunikasi massa ini dikatakan sudah lali dengan kritikan dan penghinaan yang dilontarkan orang disekelilingnya sejak dari bangku sekolah.
“Saya tak kisah orang nak kata apa pada saya, yang paling penting saya tidak pernah mengganggu dan menyakiti hati orang lain,” jelas Amy.
Turut berkongsikan pengalaman sama, Linda (bukan nama sebenar) , 23, yang mendakwa melakukan pekerjaan malam secara ekslusif untuk menampung kos perbelanjaannya di universiti.
“Untuk satu khidmat urutan badan dan batin saya boleh dapat diantara RM150 hingga RM200 mengikut kepuasan pelanggan,” kata Linda.
Hanya berbekalkan sebuah akaun Facebook sebagai tempat pengiklanan, Linda mampu menjana sehingga RM1500 sebulan dengan perbuatan tidak bermoral sekaligus melanggar etika sebagai pelajar.
Mahupun berpendapatan tinggi, kegiatannya menawarkan tubuh sebagai perniagaan secara tidak langsung bakal menjejaskan fokus selain meningkatkan risiko jangkitan HIV dan AIDS hasil kajian dilakukan Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM, Prof. Dr. Azizul Halim Yahya ketika ditemui berkata, semua pihak harus memainkan peranan dalam membantu golongan pelajar yang mempunyai kecenderungan terhadap hubungan sejenis.
“Masalah gejala sosial seumpama ini tidak seharusnya dipandang remeh kerana ia mampu merosakkan bangsa, agama dan pemikiran ramai generasi muda lain yang melihatnya sebagai trend masa kini.
Tambahnya, Ibu bapa dan guru perlu cepat mengenalpasti individu yang mempunyai ciri-ciri tersebut supaya ia dapat dicegah sebelum ianya menjadi semakin serius.
Berdasarkan Laporan Negara yang dilakukan Pensyarah Pengajian Pembangunan Sosial, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Teh Yik Koon pada 1997 hingga 2002, jumlah mak nyah dianggarkan 15,000 orang.
Bagaimanapun, statistik terkini Yayasan Pink Triangle (PT) yang mengendalikan isu sosial, termasuk mak nyah di negara ini, bilangan itu meningkat 100 peratus berjumlah antara 30,000 hingga 45,000 orang.