Profesional, teknorat harus diberi peluang dalam kabinet baharu

Bernama
Mac 4, 2020 07:08 MYT
Setiap parti dalam gabungan politik baharu dijangka menamakan calon menteri masing-masing, tetapi Muhyiddin selaku Perdana Menteri hendaklah mengambil kira reputasi setiap individu yang dicalonkan itu. - Gambar fail
Golongan profesional dan teknorat harus diberi peluang menyertai kabinet baharu dalam usaha meningkatkan imej kerajaan di mata rakyat.
Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Muhammad Fathi Yusof berkata golongan berkenaan yang tidak mempunyai ikatan secara langsung dengan parti politik boleh dilantik sebagai senator sebelum diangkat menjadi menteri.
"Jika dilihat kepada peristiwa pergolakan politik dalam seminggu yang lepas wujud satu persepsi negatif dalam kalangan rakyat terhadap ahli-ahli politik.
"Kalau kerajaan ini benar-benar serius memulihkan keyakinan orang ramai, maka ini (pelantikan golongan profesional dan teknorat) boleh diguna sebagai langkah membuka pentadbiran kerajaan kepada bukan semata-mata ahli politik tetapi golongan profesional dan teknorat," katanya kepada Bernama pada Rabu.
BACA: Sediakah parti politik lepas kerusi Menteri, beri laluan pada golongan profesional?
Dalam pada itu, Muhammad Fathi berkata pemimpin yang dipilih kelak mesti dari kalangan mereka yang cekap bagi menggerakkan pembangunan ekonomi dan sosial dengan lebih rancak.
"Terpulang kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk memilih anggota Kabinet kini, beliau mempunyai ruang dan kebebasan untuk memilih," kata beliau yang turut berpendapat Kabinet yang akan ditubuhkan agak unik berikutan kerjasama politik berlaku adalah secara spontan.
Sementara itu, penganalisis sosiopolitik dari Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi menjangkakan parti terbesar dalam gabungan baharu itu nanti bakal mendapat portfolio kementerian paling ramai.
BACA: Jemaah Menteri: Pas tidak meminta, cuma mahu yang berintegriti - Hadi Awang
Katanya, setiap parti dalam gabungan itu pastinya akan menamakan calon menteri masing-masing termasuk menamakan pemimpin utama parti, tetapi Perdana Menteri hendaklah mengambil kira reputasi setiap individu yang dicalonkan itu.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa pemimpin kurang popular bakal mendapat tempat dalam barisan jemaah menteri.
"Perlu diingatkan, rakyat mahukan perubahan jemaah menteri, mereka mestilah bebas daripada rekod buruk, bebas kes rasuah dan tidak terpalit dengan kes mahkamah. Itu satu yang jelas.
"Persepsi adalah lebih kuat berbanding realiti... Perdana Menteri perlu mengambil kira reputasi setiap calon ahli Kabinet. Ini penting untuk mengembalikan kepercayaan rakyat," kata Awang Azman.
BACA: Dakwaan 'royal coup' hina institusi diraja - Pakar Perlembagaan
Dalam pada itu, susulan pengumuman pindaan tarikh persidangan Dewan Rakyat yang ditunda kepada 18 Mei ini, Awang Azman berkata, ia memberikan lebih ruang untuk Perdana Menteri membuat keputusan memilih barisan menteri yang mantap.
-- BERNAMA
#Awang Azman Awang Pawi #bebas rasuah #calon #gabungan baharu #jemaah menteri #kabinet #kerajaan #Malaysia2020 #menteri #Muhammad Fathi Yusof #penganalisis #Perdana Menteri #Perdana Menteri kelapan #PM8 #portfolio #Rasuah #reputasi #undang-undang
;