Prof Said Bani individu pertama dari Malaysia raih anugerah ‘Communicator of The Year’ IABC Asia Pasifik

Astro Awani
Julai 5, 2024 10:20 MYT
Mohd Said Bani mencatat sejarah sebagai pengamal komunikasi pertama dari Malaysia untuk menerima Anugerah ‘Communicator of The Year’ (COTY) IABC Asia Pasifik dalam kategori ‘Senior Communication Professional.’
KUALA LUMPUR: Pengasas dan Pengarah Urusan bzBee Consult, Prof Mohd Said Bani CM Din, mencatat sejarah sebagai pengamal komunikasi pertama dari Malaysia untuk menerima Anugerah ‘Communicator of The Year’ (COTY) IABC Asia Pasifik dalam kategori ‘Senior Communication Professional.’
Anugerah ini mengiktiraf sumbangan beliau dalam bidang komunikasi strategik, di samping mencerminkan tahap kecemerlangan baharu dalam bidang komunikasi di rantau ini.
Sebagai pemimpin dalam bidang perhubungan awam dan komunikasi, Bani sentiasa mempamerkan tahap komunikasi yang berkesan sepanjang kerjayanya secara konsisten.
Bertepatan dengan kedudukan beliau selaku Presiden Public Relations and Communication Association (PRCA) Malaysia, Bani sering menekankan pentingnya komunikasi strategik, etika dan keterangkuman dalam komunikasi bagi memupuk hubungan yang bermakna dalam pelbagai sektor.
Menurut penulis prolifik dan perunding perhubungan awam, Ninot Aziz, kesungguhan Bani dalam menjalin hubungan dengan semua pihak sangat unik kerana beliau memiliki pendirian dan jati diri yang teguh dalam semua aspek.
“Dengan kearifan dan pemahaman tersendiri, Bani begitu cekap membaca sentimen dan meraih kepercayaan pelbagai pihak daripada Ketua Eksekutif kepada pelajar universiti di bawah latihannya.
“Kesemua ini mencerminkan kepakaran, tahap integriti, serta komitmen teguh kepada etika. Sebagai seorang mentor, Bani tidak penat lelah berkongsi ilmu dan pengalamannya dalam usahanya membentuk generasi masa hadapan dalam bidang komunikasi," jelas Ninot.
Kepimpinan Bani di bzBee Consult yang begitu berwawasan bukan sahaja memberi inspirasi kepada pasukannya tetapi juga memperkasa ramai individu termasuk ‘C-suite Executives’, pegawai kerajaan, profesional dan pelajar universiti.
Ketabahannya dan strategi inovatifnya semasa pandemik COVID-19 menular jelas mencerminkan kejayaan Bani dan pasukannya menyusun naratif, melancarkan kempen yang berkesan dan mencipta perubahan yang bermakna bagi kumpulan sasar dan komuniti yang terlibat.
Kepada Bani, pengiktirafan ini sangat besar maknanya kepada beliau.
"Pengiktirafan ini menggariskan semula kekuatan transformasi komunikasi dalam dunia yang kompleks dan saling berkait. Saya sifatkan pencapaian ini sebagai kejayaan bersama setiap warga BzBee - kesetiaan, kreativiti, dan sokongan mereka merupakan faktor penting.
“Sebagai pengamal perhubungan awam dan komunikasi, kita mesti sentiasa memastikan kewibawaan dalam membentuk naratif, mempengaruhi persepsi dan menjalin hubungan dengan masyarakat terutamanya kumpulan sasar. Ini merupakan tanggungjawab yang perlu sentiasa didukung dengan penuh beretika dan integriti,” kata Bani.
Pengiktirafan ini adalah anugerah ketiga buat Bani dalam tempoh setahun, sekali gus mempamerkan sumbangannya yang cemerlang dalam industri komunikasi global.
Pada Disember 2023, beliau turut meraih kemenangan buat bzBee Consult untuk Kempen Komunikasi Global Terbaik bagi ‘Sarawak Tourism Board’ yang dianugerahkan oleh World Communications Forum Association (WCFA) di Davos, Switzerland.
Sementara, awal tahun ini, beliau turut menerima Anugerah ‘Top Leader’ dalam bidang Perhubungan Awam bagi Rantau Asia Pasifik oleh WCFA dan seterusnya dilantik sebagai salah seorang Lembaga Penasihat Antarabangsa bagi WCFA yang berpangkalan di Davos.
IABC Asia Pasifik telah mengumumkan pemenang anugerah secara dalam talian dalam menonjolkan pencapaian pakar komunikasi terbaik rantau ini.
Upacara rasmi anugerah akan diadakan di Manila, Filipina dalam masa terdekat bagi meraikan sumbangan para penerima anugerah dalam bidang komunikasi.
Dalam perkembangan sama, Anugerah Asia Pacific Communicator of the Year (COTY) ini mencerminkan sumbangan dan kepimpinan Bani dalam bidang komunikasi strategik.
Ia memperlihatkan impak profesionalisme, pengiktirafan di pentas global dan sumbangannya dalam membentuk pengamal perhubungan awam masa hadapan dalam kalangan pelajar.
"Kami sangat berbesar hati menyampaikan anugerah ini kepada Bani. Komitmennya terhadap keunggulan bidang komunikasi mencerminkan piawaian tertinggi profesion ini.
“Usahanya bukan hanya memajukan organisasinya tetapi juga meningkatkan bidang komunikasi strategik di seluruh rantau Asia Pasifik," kata Pengerusi IABC Asia Pasifik, Kane Errol Choa.
#Prof Said Bani #Communicator of The Year #IABC Asia Pasifik #bzBee Consult
;